Petronas bantu Peter capai impian jadi ahli geologi
PELAJAR tajaan Petronas Carigali Sdn Bhd, Peter Majid Tandom, 56, telah melakar sejarah buat dirinya sendiri kerana berjaya mendapat kerjaya impian sebagai ahli geologi.
Beliau kini telah memanjat tangga kejayaan dalam kerjaya cari gali minyak negara dan menumpah bakti semula sebagai ketua di Petronas Sarawak Gas (SK Gas) di Bintulu.
“Ayah saya adalah satusatunya pencari nafkah keluarga pada masa itu. Dia mempunyai 10 orang anak untuk diberi makan dan saya merupakan anak kedua bongsu,” kata Peter dalam kenyataannya kelmarin.
Walaupun keluarga Peter hidup dalam serba kekurangan pada masa itu, tetapi beliau merupakan pelajar cemerlang di Sekolah Rendah St Joseph dan Sekolah Menengah St Joseph, Kuching pada tahun 1970-an dan awal 1980an.
Bagi menambah pendapatan keluarganya, Peter selalu menolong ibu bapanya menjual sayur-sayuran dari rumah ke rumah pada hujung minggu.
Beliau juga bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan bangunan dan kilang membuat selipar di Kuching pada musim cuti sekolah bagi mendapatkan wang saku.
“Belajar sangat sukar kerana saya tidak dapat membeli buku. Saya terpaksa bergantung kepada buku teks percuma daripada kerajaan.
“Ibu bapa saya tidak pandai membaca, menulis atau berbahasa Inggeris menyebabkan sukar untuk membantu saya memohon pinjaman buku dan bantuan kewangan. Saya harus melakukan semuanya sendiri, ” jelasnya.
Duit elaun daripada tajaan biasiswa Petronas yang pertama semasa berada di tingkatan dua banyak membantu beliau membayar buku teks, membeli pakaian seragam dan keperluan lainnya.
Peter secara jujur meluahkan rasa bersyukur dan bangga menjadi satusatunya murid di sekolahnya yang dibantu oleh Petronas pada masa itu. “Ketika saya berada di tingkatan lima, wakil Petronas datang dan memberikan ceramah kerjaya di sekolah mengenai industri minyak dan gas.
“Selepas itu, saya mula mengimpikan untuk menjadi ahli geologi di Petronas dan memakai pakaian kuning mereka.
“Setelah lulus peperiksaan tingkatan lima — yang dikenali sebagai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (MCE) ketika itu - saya mendapat tiga tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
“Saya memilih biasiswa daripada Petronas kerana bagi saya, ini adalah biasiswa terbaik untuk melanjutkan pengajian dalam bidang geologi,” tambahnya.
Dengan peluang berkenaan Peter terus melangkah kaki ke sebuah kolej swasta di Kanada untuk program prauniversiti.
Kemudian beliau memasuki Universiti Laurentian di Ontario, Kanada, untuk belajar bidang geologi dengan niat untuk kembali ke Malaysia dan berkhidmat kepada Petronas.
Peter lulus pada 1988, ketika dunia sedang mengalami kemelesetan ekonomi menyebabkan peluang pekerjaan di Malaysia terjejas teruk.
“Latihan saya sepatutnya selama satu tahun tetapi setelah tiga bulan saya dimasukkan ke PCSB sebagai ‘trainee engineer’ di Jabatan Kejuruteraan Petroleum,” katanya.
Beliau segera ditugaskan ke Sarawak Shell Berhad (SSB) sebagai jurutera petroleum ‘wellsite’ selama dua tahun, bekerja di pelantar penggerudian di luar kawasan Sarawak.
Pada 1989, Peter ditugaskan kembali ke Operasi Baram Delta (BDO) sebagai ahli geologi pembangunan.
Karier Peter di Petronas terus berkembang sehingga pada 1995, beliau dihantar ke Vietnam untuk menjadi ahli geologi pengeluaran di Petronas Carigali (Vietnam) Sdn Bhd.
Peter merupakan salah seorang anggota pasukan Petronas yang menghantar minyak pertama di Vietnam.
“Kami melakukannya dalam tempoh 10 hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Ini juga pertama kalinya Petronas memperoleh minyak dari ruang bawah tanah granit, ” kata Peter.
Pada tahun 2000, beliau dipindahkan kembali ke Petronas Carigali Sdn Bhd Operasi Sarawak untuk menjadi pengurus projek pembangunan di Baram.
Empat tahun kemudian, beliau dihantar ke operasi Petronas di Turkmenistan di mana beliau sendiri sebagai sebahagian daripada pasukan yang berjaya menyampaikan projek Uji Sumur Diperluas untuk pengembangan minyak dan gas di Blok 1, Laut Kaspia.
“Pada tahun 2007, saya ditugaskan menjadi ketua eksplorasi Petronas Carigali (Turkmenistan) Sdn Bhd, di mana kami membuat salah satu penemuan minyak dan gas terbesar untuk Petronas di Blok 1, Laut Kaspia,” ujarnya.
Peter kemudian dihantar pulang ke Malaysia pada 2010, untuk menjadi ketua geosains di Jabatan Kejuteraan Petroleum (PED), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Kuala Lumpur.
Empat tahun kemudian, beliau menjadi ketua pengurusan Sumber Sarawak di PED, yang bertanggungjawab pembangunan minyak dan gas di luar pesisir Sarawak.
Pada tahun 2016, Peter dilantik sebagai ketua pembangunan sumber dan pengurusan di Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), di mana beliau mengawasi perkembangan minyak dan gas untuk semua kontraktor yang beroperasi di perairan Sarawak.
Beliau kembali ke Sarawak pada Julai 2019 untuk mengetuai SK Gas, jawatan yang disandangnya sehingga kini.
“SK Gas akan menjadi aset Petronas terbesar di Malaysia dalam lima tahun akan datang,” ujarnya.
Syarikat tersebut menguruskan operasi gas luar pesisir Petronas di Sarawak dan membekalkan gas kepada pelanggan tempatan seperti Sarawak Energy Berhad (SEB), Shell Middle Distillate Synthesis (SMDS), ASEAN Bintulu Fertilizer (ABF) dan pengguna industri kecil lain.
SK Gas juga mempunyai empat kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di awah PCSB, iaitu Kumang Cluster PSC, MLNG Dua PSC, SK8 PSC dan SK316 PSC.
Ia adalah pengendali rangkaian gas bersepadu keseluruhan untuk perairan Sarawak dan Kemudahan Bersepadu Bintulu (BIF).
Peter berharap perkongsian hidupnya itu berupaya memotivasikan lebih ramai anak muda yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan untuk berjaya dalam kehidupan mereka.