Utusan Borneo (Sarawak)

18 termasuk penjaga bistro dikompaun gagal patuhi SOP

-

KUCHING: Padah ingkar prosedur operasi standard (SOP), 18 individu termasuk seorang penjaga premis dikompaun dalam operasi pematuhan di sekitar bandar raya ini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani dalam suatu kenyataan berkata, operasi pematuhan itu dijalankan dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam di sekitar bandar raya Kuching.

“Kesemua individu berusia 18 hingga 40 tahun dikompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang dan perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Kuching dalam tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Mengulas lanjut, beliau berkata individu terbabit terdiri daripada tiga lelaki dan 15 perempuan dikompaun kerana tidak mematuhi SOP termasuk seorang penjaga premis yang gagal menyediaka­n alat pengimbas suhu, buku catatan pelanggan dan cecair pensanitas­i tangan.

“Kompaun tersebut dikenakan kepada seorang penjaga premis di sebuah bistro di Lebuh Ewe Hai, Kuching manakala enam pelanggan di premis tersebut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal,” tambah Awang Din.

Dalam pemeriksaa­n yang diketuai Ketua Polis Balai Sentral ASP Ahmad Abang katanya, seramai 11 individu dikompaun kerana berkumpul dan gagal mematuhi penjarakan fizikal di Kiosk Perhentian Bas Aiskrim Gula Apong, Jalan Gambier dan Tebingan Kuching, Jalan Main Bazaar kelmarin.

Sehubungan itu, beliau berharap orang awam terutama pengusaha premis dan pelanggan agar sentiasa mengikuti serta patuh kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti penjarakan fizikal, catat butiran diri dengan suhu serta penyediaan alat-alat keperluan untuk pencegahan penularan COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia