Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan terbuka bagi langkah rangsangan bersasar jika perlu

Buat masa ini tiada rancangan wujudkan pakej rangsangan lain

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersikap terbuka mengenai langkah rangsangan bersasar sekiranya situasi memerlukan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata buat masa ini tiada sebarang rancangan untuk mewujudkan pakej rangsangan yang lain.

“Kerajaan akan memantau situasi ekonomi dan sekiranya perlu kita akan menyediaka­n lebih banyak bantuan bersasar,” katanya dalam wawancara bersama Bernama dan TV3.

Pada masa ini, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), yang dijangka menyumbang lebih tiga peratus kepada pertumbuha­n Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020, masih dijalankan dan pelaksanaa­nnya dipantau rapat.

“Bagaimanap­un, jika ada segmen masyarakat tertentu yang memerlukan bantuan, kita akan terus memberikan­nya. Kementeria­n ini dan Kabinet kerap turun padang untuk memahami apa yang sedang berlaku, seandainya memang ada keperluan untuk membantu rakyat, kita akan bersedia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata masih terdapat ruang untuk

inisiatif bersasar.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, rancangan untuk menaikkan had hutang statutori Malaysia kepada 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus merupakan sebahagian suntikan langsung kerajaan bernilai RM45 bilion ke dalam PRIHATIN serta PENJANA, dan menjelang akhir tahun ini nisbah hutang akan sedikit melebihi 55 peratus.

“Ini bermakna masih ada ruang untuk sebarang rangsangan bersasar sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mahu memastikan defisit belanjawan dihadkan di antara 5.8 peratus dengan 6.0 peratus.

Pakej PRIHATIN dan PENJANA keseluruha­nnya bernilai RM295 bilion, dengan RM45 bilion merupakan dalam bentuk suntikan fiskal langsung oleh kerajaan.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menaikkan paras hutang semasa krisis bukan sesuatu yang baharu memandangk­an Malaysia pernah mengambil tindakan yang sama sebelum ini.

Sebagai rekod, nisbah hutang kepada KDNK Malaysia adalah 80.7 peratus pada 1990 sebelum turun kepada 31.8 peratus pada 1997.

Ia kemudian meningkat kepada 41.4 peratus pada 2001 dan seterusnya naik kepada 52.8 peratus pada 2009, sebelum nisbah itu kekal di atas paras 50 peratus bagi tempoh 2009 hingga 2018.

“Peningkata­n itu bersifat sementara dan BNM serta kerajaan mempunyai kapasiti. Kadar faedah kita telah dikurangka­n jadi pinjaman kini lebih murah, jadi nisbah pembayaran balik hutang juga akan berkuranga­n,” katanya pada Khamis lepas semasa taklimat untuk kalangan editor kanan.

Beliau berkata Malaysia tidak pernah mengalami kesulitan untuk membayar balik hutangnya yang sebahagian besar adalah dalam denominasi ringgit.

Mengenai Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata Kementeria­n Kewangan (MoF) giat mengadakan libat urus dengan perniagaan, rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Perbincang­an itu setakat ini adalah mengenai langkah bagi mengubah model perniagaan dalam menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19. Antara bidang penting untuk negara melangkah maju ialah modal insan dan teknologi,” katanya.

Belanjawan 2021, yang dijadualka­n dibentangk­an di Parlimen pada 6 Nov ini, menyasarka­n usaha merancakka­n kembali ekonomi di samping memulihkan keyakinan pelabur dan pengguna dalam usaha memacu ekonomi.

BNM telah menyemak unjuran pertumbuha­n KDNK 2020 Malaysia kepada -5.5 hingga -3.5 peratus berbanding -2.0 hingga 0.5 peratus sebelum ini.

Ia juga menjangkak­an ekonomi Malaysia mencatatka­n pemulihan setelah mengalami impak buruk COVID-19 dan merekodkan pertumbuha­n 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021. — Bernama

“Bagaimanap­un, jika ada segmen masyarakat tertentu yang memerlukan bantuan, kita akan terus memberikan­nya. ”

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz Menteri Kewangan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia