Utusan Borneo (Sarawak)

286 individu ditahan ingkar arahan PKP

-

KUALA LUMPUR: Seramai 286 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kelmarin, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu 44 individu direman manakala 242 individu pula dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediaka­n peralatan atau catatan keluar masuk (34), premis beroperasi lebih masa (empat), tidak memakai pelitup muka (35), serta aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarka­n penjarakan fizikal (213),” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembang­an Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Mengenai Ops Benteng, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 53 sekatan jalan raya di seluruh negara kelmarin dan memeriksa 19,355 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, terutamany­a di lorong-lorong tikus, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Menurutnya sejak 24 Julai hingga 16 Ogos lepas, 12,063 individu dari luar negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabang­sa dan mereka ditempatka­n di 61 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“Daripada jumlah itu, seramai 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 4,886 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga mengadakan 362 pemeriksaa­n terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing semalam dan kesemua individu terbabit didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, Ismail Sabri berkata Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian terhadap 12 jenis bekalan barangan di 706 premis perniagaan termasuk 526 daripadany­a adalah peruncit, 150 melibatkan pemborong dan 30 pengilang. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia