Utusan Borneo (Sarawak)

PESRON SABAH PERLU TAJAAN BANTU ATLET

Persiapan buru pingat Sukan Paralimpik di Tokyo tahun depan

- Oleh Vitalis G Bingkasan

Kami sasar kutip dana atau tajaan lebih RM100 ribu untuk membantu persiapan atlet Paralimpik danatlet lain. Tan Hwa Koon Pengerusi PESRON Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Sukan dan Rekerasi Orang Kurang Upaya Negeri Sabah (PESRON Sabah) perlukan penaja untuk membantu atlet mereka.

Pengerusi PESRON Sabah, Tan Hwa Koon berkata, tajaan diperlukan terutama bagi membantu persiapan atlet negeri ini yang akan membawa cabaran negara memburu pingat Sukan Paralimpik di Tokyo tahun depan.

Katanya, tajaan juga diperlukan untuk membantu aktiviti atlet-atlet persatuan itu di mana negeri ini bukan sahaja memiliki ramai atlet berpotensi tetapi sudah berada di tahap antarabang­sa.

“Kami sasar kutip dana atau tajaan lebih RM100 ribu untuk membantu persiapan atlet Paralimpik dan atlet lain.

“Sehubungan dengan itu, kami harap akan ada badan korporat, syarikat atau individu tampil membantu. Tajaan boleh disalurkan menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah dan penaja

boleh mendapat pengecuali­an cukai,” kata Tan ketika ditemui di sini semalam.

Sukan para negeri ini merangkumi acara renang, badminton, memanah, olahraga, ping pong dan boccia serta beberapa lagi yang baru tersenarai seperti catur, tenpin boling dan boling padang.

Tiga atlet negeri ini telah layak mewakili negara ke Sukan Paralimpik Tokyo iaitu Jonathan Wong Kar Gee dari sukan olahraga (lompat jauh), Brenda Larry (renang) dan Didin Taresoh (badminton).

Sabah juga telah melahirkan ramai atlet para antarabang­sa lain seperti Ethan Khoo, Abdul Halim (renang), Charlie Jikulis, Ramdi Rahimin, Lidwina Isidore Andilah, Rozana

Mail (memanah), Mohd Nazizul Hamzah, Brady Chin Zi Rong, Muhamad Lizan Mat Sittim (ping pong), Eddy Bernard, Shamli Waidi, Sabaruddin­g Bachok, Jacklon Ganding, Doriah Poulus dan Felicia Mikat (olahraga).

Sebagai rekod, Sabah juga muncul naib juara di kalangan 15 pasukan yang bertanding pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) XIX 2018 di Perak dengan pencapaian 32 pingat emas, 24 perak dan 24 gangsa.

Tahun depan, selain memburu pingat di Sukan Paralimpik Sabah juga disasarkan 40 pingat emas pada Para SUKMA di Johor.

“Tajaan diperlukan untuk menghantar jurulatih menyertai kursus-kursus tempatan dan luar negara bagi memperting­katkan ilmu mereka dan memberi pendedahan kepada atlet.

“Dana juga diperlukan bagi memperbaha­rui atau memberi peralatan latihan. Tajaan tentunya membantu menyuntik semangat atlet untuk terus maju,” kata Tan.

Mereka yang ingin menaja atau memberikan sumbangan boleh berurusan dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah atau memberikan cek kepada MSN Sabah menerusi akaun Bank HSBC bernombor 392-018446-001.

 ??  ??
 ??  ?? TAN
TAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia