Utusan Borneo (Sarawak)

Rumah Chat Chemalien terbakar, 142 penghuni tinggal sehelai sepinggang

-

JULAU: Seramai 142 penghuni Rumah Chat Chemalien di Nanga Bilat, Julau, tinggal sehelai sepinggang setelah rumah panjang mereka musnah terbakar, petang kelmarin.

Rumah panjang 20 bilik itu terletak lebih kurang 20 kilometer dari pekan Julau.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut jam 1.13 petang.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota berserta sebuah jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang sejauh 71 kilometer dari balai.

“Ketika pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati hampir keseluruha­n rumah panjang tersebut telah dijilat api.

“Melihat situasi tersebut, pasukan bomba telah bertindak mengawal kebakaran daripada merebak ke tabika dan gereja berhampira­n,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, kelmarin.

Difahamkan ketika kejadian, hanya separuh penduduk berada di rumah panjang tersebut.

Menurut Nicholas, pasukan bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengawal dan seterusnya memadam kebakaran tersebut.

“Pihak bomba telah mengalami kesukaran dalam memadam kebakaran kerana ketiadaan sumber air.

“Kita hanya menggunaka­n air dari kolam kecil berhampira­n rumah panjang tersebut untuk memadam kebakaran.

“Tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan dalam kejadian tersebut,” kata Nicholas.

Tambahnya lagi, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian yang ditanggung mangsa masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang penduduk rumah panjang berhampira­n yang hanya mahu dikenali sebagai Dom berkata, sejurus menerima berita mengenai kebakaran tersebut beliau bersama dengan beberapa penduduk kampung berhampira­n bergegas ke rumah panjang tersebut untuk menghulurk­an bantuan setakat yang termampu.

“Ketika saya sampai di rumah panjang tersebut, api sudahpun membakar lima pintu rumah panjang tersebut.

“Dalam tempoh 20 minit sahaja, api marak ke keseluruha­n rumah panjang tersebut terutamany­a di tingkat atas.

“Keadaan cuaca panas dengan tiupan angin yang agak kuat ketika kejadian menyebabka­n api merebak dengan cepat sehinggaka­n penduduk tidak sempat menyelamat­kan harta benda mereka,” katanya lagi.

 ??  ?? JADI ARANG: Keadaan di Rumah Chat Chemalien, Nanga Bilat, Julau, yang ditimpa musibah kebakaran, petang kelmarin.
JADI ARANG: Keadaan di Rumah Chat Chemalien, Nanga Bilat, Julau, yang ditimpa musibah kebakaran, petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia