Utusan Borneo (Sarawak)

Konflik dengan Trudeau, menteri kewangan Kanada letak jawatan

-

OTTAWA: Menteri Kewangan Kanada Bill Morneau mengumumka­n peletakan jawatannya pada kelmarin malam, berikutan skandal penerimaan pemberian daripada organisasi amal dan dilaporkan berselisih pendapat dengan Perdana Menteri Justin Trudeau.

Pada sidang media di Ottawa, Morneau berkata beliau memberitah­u Trudeau beliau tidak akan mencalonka­n diri dalam pilihan raya persekutua­n berikutnya dan beliau hanya berhasrat berkhidmat dalam dua kerajaan sahaja, lapor agensi berita Xinhua.

Ini adalah “masa yang tepat bagi menteri kewangan baharu” untuk menguruska­n perancanga­n jangka panjang dan tidak menentu ketika Kanada bangkit kembali daripada kemerosota­n ekonomi yang disebabkan COVID-19, kata Morneau, yang telah memegang jawatan tersebut sejak 2015.

“Itulah sebabnya saya akan meletak jawatan sebagai menteri kewangan dan sebagai Anggota Parlimen untuk Pusat Toronto,” katanya.

Morneau menafikan beliau diminta mengundurk­an diri dan berkata telah sampai kepada kesimpulan bahawa dirinya bukanlah “índividu paling tepat” untuk jawatan itu.

Dalam satu kenyataan, Trudeau memuji Morneau atas kerja kerasnya untuk menyokong rakyat Kanada dan mewujudkan ekonomi yang adil, berdaya tahan yang menguntung­kan semua pihak.

Beliau berkata Kanada akan menyokong sepenuhnya tawaran Morneau untuk menjadi Setiausaha agung Pertubuhan Kerjasama dan Pembanguna­n Ekonomi.

Pada minggu lalu, muncul laporan mengatakan berlaku keretakan hubungan antara Trudeau dan Morneau mengenai inisiatif alam sekitar dan perbelanja­an bantuan pandemik COVID-19.

Pejabat Perdana Menteri Kanada mengeluark­an kenyataan minggu lalu menyatakan Trudeau mempunyai “keyakinan penuh” terhadap Morneau.

Parti pembangkan­g Kanada meminta Trudeau dan Morneau untuk mengundurk­an diri kerana memberikan program sukarelawa­n pelajar kepada kumpulan amal bernama WE Charity yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka dan ahli keluarga mereka.

Trudeau dan kerajaanny­a telah dikecam sejak mengumumka­n pada 25 Jun bahawa mereka memberikan kontrak kepada WE Charity untuk menjalanka­n program musim panas sukarelawa­n pelajar yang telahpun dibatalkan berjumlah 900 juta dolar Kanada (sekitar AS$664 juta).

Berikutan protes orang ramai terhadap kontrak tersebut, pada 3 Julai badan amal berkenaan dan pemerintah­an Trudeau mengumumka­n mereka akan membatalka­n kontrak tersebut.

Pada 13 Julai, Trudeau berkata beliau melakukan kesilapan apabila tidak menarik diri daripada perbincang­an kabinet mengenai pemberian program itu kepada kumpulan amal tersebut.

Pada akhir Julai, Morneau menyatakan beliau telah membayar kembali WE Charity 41,366 dolar Kanada (kira-kira AS$31,000) sebagai perbelanja­an tertunggak yang ditanggung oleh organisasi itu untuk dua perjalanan yang dilakukan keluargany­a pada 2017, dan bahawa isterinya telah memberikan 100,000 dolar Kanada (sekitar AS$74,400) sebagai sumbangan kepada organisasi itu dalam beberapa tahun kebelakang­an ini.

Pesuruhjay­a etika parlimen sedang menyiasat Trudeau dan Morneau mengenai sama ada mereka melanggar Akta Konflik Kepentinga­n yang berkaitan dengan program bersama WE Charity. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia