Utusan Borneo (Sarawak)

Penceroboh­an: Nelayan diingatkan lapor pihak berkuasa, elak ambil tindakan sendiri

-

KUALA TERENGGANU: Nelayan Terengganu diingatkan agar membuat laporan secepat mungkin kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku penceroboh­an oleh nelayan warga asing yang mencuri khazanah laut di perairan negeri ini.

Pengerusi Jawatankua­sa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembanguna­n Desa Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata zon ekonomi eksklusif negeri Terengganu sangat luas iaitu 87,000 kilometer persegi yang sangat memerlukan kerjasama nelayan tempatan untuk menyalurka­n maklumat mengenai penceroboh­an.

“Dengan keluasan ini, tentu sekali agak sukar untuk agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia, polis marin, Jabatan Perikanan dan Jabatan Laut nak pantau semua sekali.

“Ia agak mustahil kerana mereka juga terlibat dengan kerja-kerja lain seperti operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekiranya ada kemalangan ditambah pula dengan aset yang terhad... sebab itu biar kita sama-sama ada ‘sense of belonging’ untuk kita jaga kedaulatan perairan dan jaga khazanah hasil laut kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan unjam kepada Komuniti Perikanan (myKP) Kuala Ibai dan myKP Chendering yang dihadiri 64 nelayan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dr Azman berkata kerajaan negeri tidak mahu cerita penceroboh­an nelayan asing ini hanya sekadar berlegar di kedai kopi dan menjadi bualan santai dalam kalangan nelayan sahaja sebaliknya, nelayan perlu ada rasa tanggungja­wab dalam mempertaha­nkan kedaulatan negaradan menjaga sumber khazanah negara melalui tindakan sepatutnya iaitu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“Kita dah ada kemudahan komunikasi canggih ketika ini jadi maklumat penceroboh­an boleh sampai cepat kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil segera.

“Namun, jangan sesekali mengambil tindakan sendiri kerana ini akan mendedahka­n nelayan dengan ancaman lebih keras yang mungkin akan membahayak­an keselamata­n diri dan nyawa mereka,” katanya.

Tambahnya, ancaman nelayan asing yang menceroboh perairan negara terhadap nelayan tempatan selama ini memang wujud dan ia terbukti apabila berlakunya insiden serangan terhadap bot APMM Kelantan yang dibaling bom diesel serta dilanggar oleh bot nelayan Vietnam di perairan Tok Bali dalam kejadian pada malam Ahad lepas.

“Kalau penguat kuasa APMM yang lengkap bersenjata pun mereka berani ancam dan bertindak ganas apatah lagi dengan nelayan kita yang tidak bersenjata ini...saya ucapkan syabas dan tahniah atas ketegasan APMM untuk melindungi kedaulatan perairan negara kita.

“Penceroboh perlu diberi satu pengajaran bermakna supaya mereka tahu negara ini ada tuan dan ada kedaulatan­nya,” katanya yang mengakui banyak menerima aduan daripada nelayan tempatan berkenaan ancaman nelayan asing namun tidak mempunyai bukti kukuh seperti video atau gambar.

Dalam kejadian serangan itu, APMM Kelantan terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara yang menyebabka­n seorang maut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia