Utusan Borneo (Sarawak)

Terserah kepada KM tentukan calon untuk Opar dan Mambong: Manyin

-

SERIAN: Dato Sri Micheal Manyin Jawong berkata terserah kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk membuat keputusan akhir berhubung calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan bertanding di kerusi Opar dan Mambong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang dianggap pemimpin Bidayuh paling kanan dalam GPS berkata, beberapa nama telah dikenal pasti untuk dicadangka­n sebagai calon di dua kerusi majoriti Bidayuh itu kepada Ketua Menteri sebagai Pengerusi GPS.

“Bagi Opar, ada dua tiga nama untuk diberikan kepada Ketua Menteri. Mambong juga belum dimuktamad­kan lagi kerana Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga mahukan kerusi tersebut tetapi penyandang­nya kini secara rasminya adalah ahli PBB.

“Jadi kita serahkan kepada Ketua Menteri yang mempunyai prerogatif (untuk membuat keputusan). Bagi kerusi Bidayuh yang lain, kita berharap semua penyandang akan mempertaha­nkan kerusi masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Input Pertanian dan Penternaka­n bagi konstituen­si Tebedu di Kampung Pichin dekat sini, semalam.

Terdapat lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dikenal pasti sebagai kerusi majoriti Bidayuh. Selain Opar dan Mambong, enam lagi ialah Tasik Biru, Serembu, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semunja.

Hanya satu daripada kerusi tersebut iaitu Opar ketika ini tidak diwakili GPS selepas penyandang­nya Dato Ranum Mina, baru-baru ini diumumkan oleh Parti Sarawak Bersatu (PSB) sebagai calon parti itu bagi mempertaha­nkan kerusi berkenaan.

Menurut laporan akhbar baru-baru ini, SUPP, salah satu komponen GPS, menamakan Pengerusi SUPP Opar, Niponi Undek sebagai calon berpotensi bagi kerusi tersebut.

Mambong, juga seperti Opar, dianggap kerusi tradisi SUPP dan parti baru-baru ini telah menamakan tiga calon berpotensi iaitu Jimson Jium, Ahkim Sarok dan Andrew Victor Nub untuk kerusi itu.

Penyandang Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang kini menyertai PBB, memenangi kerusi itu buat pertama kalinya (dikenali Bengoh) pada 2001 ketika beliau masih bersama SUPP dan mempertaha­nkannya pada 2016 sebagai calon langsung Barisan Nasional (BN).

Menurut Manyin lagi, GPS juga sedang mencari pencabar berpotensi di kerusikeru­si Bidayuh berkenaan bagi membolehka­n persiapan lebih baik dibuat.

Dalam perkembang­an lain, Manyin yang telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu selama lima penggal sejak 1996 berkata akan menyerahka­n kepada pucuk kepimpinan parti untuk menentukan sama ada beliau mempertaha­nkan kerusi itu pada PRN nanti.

Sama ada beliau kembali bertanding atau tidak, Manyin berkata impiannya pada PRN akan datang ialah melihat kesemua lapan kerusi Bidayuh menjadi milik GPS.

“Saya akan bekerja keras, saya mahu memastikan semua lapan kerusi Bidayuh akan dimenangi oleh GPS dengan majoriti yang bagus. Itu impian saya,” ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya Manyin berkata, PRN Ke-12 dijangka diadakan tidak lama lagi dan beliau meminta semua komuniti Bidayuh kekal bersatu serta memberi sokongan penuh kepada GPS.

“Apabila pilihan raya diadakan, mungkin Oktober ini atau November atau Januari atau Februari tahun depan, kita Bidayuh mesti terus menyokong GPS untuk terus membentuk kerajaan,” katanya.

Sementara itu, majlis yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembanguna­n Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu menyaksika­n 182 pekebun kecil menerima input pertanian dan ternakan di bawah Dana Pemudahcar­a Pertanian (AFF) Kerajaan Negeri Sarawak.

Dalam ucapannya, Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB, memberi amaran kepada pengundi agar menolak segelintir pihak yang hanya tahu memberi janji-janji semasa musim pilihan raya.

“Ada yang mengatakan mereka akan menurunkan harga minyak petrol kalau menang pilihan raya. Adakah itu berlaku? Tidak.

“Ada juga antara mereka yang pernah menjawat jawatan menteri di Kuala Lumpur sebelum ini, kini mengatakan mereka ada program yang lebih baik berbanding GPS. Saya berharap anda semua tidak terpengaru­h dengan semua ini,” ujarnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia