Utusan Borneo (Sarawak)

Semakin ramai ibu menyusukan bayi secara eksklusif enam bulan

-

LUBOK ANTU: Peratusan ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif selama enam bulan semakin menunjukka­n peningkata­n dalam kalangan masyarakat kita sejak beberapa tahun ini, demikian menurut wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Sri Aman Dr Gwendolen Luciana.

Menurutnya, ini menunjukka­n kesedaran dalam kalangan ibu, sokongan ahli keluarga dan komuniti semakin meningkat.

Katanya, penyusuan susu ibu bukan sahaja memberi faedah kepada bayi tetapi juga kepada ibu.

“Oleh itu, sama-sama kita terus memberikan sokongan kepada para ibu agar mereka berjaya menyusukan bayi mereka dengan air susu ibu sahaja untuk tempoh enam bulan pertama selepas kelahiran bayi.

“Kemudian, meneruskan penyusuan susu ibu sehingga anak berumur dua tahun atau lebih,” ujarnya semasa menutup Program sambutan Mingguan Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang bertemakan ‘Sokong Penyusuan Susu Ibu Ke Arah Kesejahter­aan Sejagat’ di Klinik Klinik Kesihatan Lubok Antu dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis penutupan program berkenaan ialah Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Lubok Antu Dr. Peter Jerampang, Pegawai Sains Pemakanan Bahagian Sri Aman Jambai Endu serta Ketua Penyelia Jururawat Kesihatan Bahagian Sri Aman Fatimah Stam.

Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia di Klinik Lubok Antu, antaranya, ceramah penyusuan susu ibu untuk para ibu, latihan penyusuan susu ibu untuk Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu Daerah Lubok Antu, latihan ulang kaji penyusuan susu ibu untuk anggota kesihatan, pameran poster penyusuan susu ibu dan pemilihan Ibu Contoh Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia bagi tahun 2020 yang mana kategoriny­a ibu bekerja dan suri rumah.

Selain Klinik Kesihatan Lubok Antu, sambutan turut dilaksanak­an di beberapa klinik kesihatan lain seperti Klinik Kesihatan Sri Aman, Klinik Kesihatan Batu Lintang, Klinik Kesihatan Skrang, Klinik Kesihatan Lingga dan Klinik Kesihatan Nanga Kesit.

Sambutan tahun ini hanya melibatkan kumpulan kecil ibu dan anggota kesihatan berpanduka­n kepada arahan SOP COVID-19.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia