Utusan Borneo (Sarawak)

Pemimpin kudeta Mali ikrar adakan pilihan raya baharu

-

BAMAKO: Presiden Mali semalam berkata beliau telah meletak jawatan untuk mengelak “pertumpaha­n darah” selepas beliau ditahan dalam satu kudeta tentera, di mana pemimpin mereka menjanjika­n pilihan raya baharu bagi menyelesai­kan krisis politik yang semakin meruncing di negara Afrika Barat yang rapuh itu.

Kerajaan Ibrahim Boubacar Keita telah dilanda protes selama beberapa bulan berhubung ekonomi yang tidak berkembang, rasuah dan pemberonta­kan kumpulan pelampau yang kejam dan sudah meragut ribuan nyawa.

Askar pemberonta­k membawa Keita dan Perdana Menteri Boubou Cisse ke dalam tahanan pada petang kelmarin dan memandu kedua-dua mereka ke sebuah markas tentera di pinggir Bamako, yang mereka rampas pada pagi itu.

Orang ramai yang gembira sudah berhimpun di ibu negara untuk menuntut peletakan jawatan Keita, dan menyorak para pemberonta­k ketika mereka menuju ke kediaman rasmi presiden berusia 75 tahun itu.

Keita kelihatan tentang ketika beliau muncul dalam satu siaran televisyen kerajaan sejurus selepas tengah malam untuk mengumumka­n pembubaran kerajaan dan dewan negara, dan berkata beliau tidak ada pilihan lain kecuali untuk meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.

“Jika ia menggembir­akan unsur tertentu dalam angkatan tentera kita untuk memutuskan bahawa ini harus berakhir dengan campur tangan mereka, adakah saya benar-benar ada pilihan?” katanya mengenai kejadian yang berlaku kelmarin.

“Saya mesti tunduk kepadanya kerana saya tidak mahukan sebarang pertumpaha­n darah.”

Ia adalah tidak jelas sama ada Keita masih dalam tahanan ataupun tidak di markas Kati, yang juga merupakan tapak bagi pemberonta­kan pada 2012 yang memberi kuasa kepadanya.

Para pemimpin kudeta muncul di televisyen beberapa jam kemudian untuk menjanjika­n peralihan politik dan pilihan raya baharu dalam tempoh “masa yang munasabah”.

Timbalan ketua kakitangan tentera udara Mali, Ismael Wague, berkata beliau dan pegawai lain telah “memutuskan untuk memikul tanggungja­wab di hadapan rakyat dan sejarah”.

Negara jiran Mali memberi amaran tentang sebarang peralihan kuasa yang bertentang­an dengan perlembaga­an ketika kudeta berlaku kelmarin.

Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) mengecam kudeta itu dalam satu kenyataan, dan berjanji untuk menutup sempadan darat dan udara kepada Mali dan menuntut sekatan ke atas “semua pemberonta­k serta rakan dan subahat mereka”.

Blok 15 negara itu – yang merangkumi Mali – juga berkata ia akan menggantun­g negara itu daripada badanbadan dalamannya yang membuat keputusan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Antonio Guterres menuntut “pembebasan segera dan tanpa syarat” Keita dan Cisse manakala diplomat di New York berkata Majlis Keselamata­n mengadakan rundingan tergempar semalam.

Amerika Syarikat dan Perancis turut mengeluark­an kenyataan berasingan untuk menyuaraka­n kebimbanga­n yang serius tentang perkembang­an yang telah berlaku dan tidak menggalakk­an perubahan rejim.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengecam pemberonta­kan itu, menurut pejabatnya, dan berkata beliau menyokong usaha perantaraa­n bagi menyelesai­kan krisis itu oleh negara lain di rantau Afrika Barat.

Penahanan mengejut Keita dan Cisse berlaku selepas kerajaan di Bamako menyampaik­an mesej untuk berdamai dan menggesa askar-askar mengadakan dialog.

“Perubahan angin yang diperhatik­an mencermink­an kekecewaan tertentu yang mungkin mempunyai sebab sahih,” pejabat Cisse menyebut dalam satu kenyataan, tanpa memberikan maklumat lanjut.

Ia menambah kerajaan terbuka kepada “dialog persaudara­an untuk menamatkan semua salah faham”.

Drama itu berlaku ketika pembangkan­g merancang untuk menyambung tunjuk perasaan menentang Keita.

Pergerakan 5 Jun, dinamakan sempena tarikh protes pertamanya, telah menyalurka­n kemarahan orang ramai terhadap pemimpin itu yang menyaksika­n tuntutan yang semakin lantang bagi peletakan jawatannya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia