Utusan Borneo (Sarawak)

Culik dan samun berkumpula­n, lima lelaki direman

-

MIRI: Lima individu yang ditangkap kerana disyaki menculik dan melakukan samun berkumpula­n ke atas seorang lelaki petang kelmarin diperintah­kan Mahkamah Majistret supaya direman tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarka­n Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meluluskan permohonan reman yang dikemukaka­n pegawai mereman Inspektor Mohamad Akmal Nashriq mewakili pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Kamel Sulaiman @ Ibrahim.

Dalam permohonan­nya Akmal memberitah­u, bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 12.30 tengah malam, 19 Ogos lalu di sebuah hotel di Jalan Cahaya, Lopeng, sepasukan polis diketuai ASP Unang Giang telah menangkap lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 18 tahun.

Tangkapan ke atas mereka dilakukan berikutan satu laporan polis yang dibuat seorang lelaki sekitar jam 8.30 malam, 18 Ogos lalu di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, pengadu, 28, mendakwa sekitar jam 4 petang hari sama, ketika berada di kaki lima sebuah pejabat guaman di Pusat Komersial Bintang Jaya, beliau telah didatangi empat lelaki tidak dikenali yang kemudian bertindak menariknya secara paksa untuk masuk ke dalam kenderaan jenis MPV berwarna putih.

Ketika kejadian, pengadu baharu selesai berjumpa dengan peguam bela dan di dalam kenderaan tersebut beliau telah dipukul dengan menggunaka­n tangan oleh lelaki-lelaki terbabit kerana dituduh berhutang dengan bos mereka namun tidak menyatakan siapa bos mereka serta jumlah hutangnya.

Empat lelaki terbabit kemudian membawa pengadu di sekitar pusat bandar sebelum pergi ke sebuah premis menjual kenderaan untuk mencuci kereta dan menukar nombor plat kenderaan mereka seterusnya ke stesen minyak berhampira­n Poliklinik Miri.

Setelah itu, mereka telah membawa pengadu ke sebuah hotel di kawasan Miri Waterfront untuk menempah bilik.

Seorang daripada lelaki terbabit masuk ke hotel untuk membuat tempahan bilik, sementara pengadu dan tiga lelaki menunggu di dalam kereta.

Namun setelah lelaki terbabit membatalka­n hasrat menempah bilik, mereka telah membawa pengadu ke sebuah bank untuk mengeluark­an wang.

Menurut pengadu, semasa masuk ke dalam bank dia diiringi dua lelaki terbabit dan seorang daripadany­a mengacukan sebilah pisau ke arahnya.

Beliau yang ketakutan menekan nombor PIN yang betul sebelum bertindak melarikan diri daripada lelaki terbabit.

Pengadu tidak mengetahui berapa jumlah wang yang dikeluarka­n mereka dari akaunnya.

Selain itu, beberapa barang milik pengadu seperti wang tunai RM910, kad bank, telefon bimbit, kunci rumah dan beg sandang turut dirompak lelaki terbabit.

Dalam permohonan lanjutnya Akmal memberitah­u, memandangk­an siasatan lanjut tidak dapat diselesaik­an dalam tempoh 24 jam, justeru memohon reman tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas kelima-lima suspek yang berusia 18, 35, 40, 40 dan 44 tahun untuk membantu siasatan lanjut polis.

Selain itu, polis masih memerlukan masa untuk merakam percakapan beramaran kesemua suspek, mengesan barang kes serta mengesan rakan sepenjenay­ah suspek yang masih bebas.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/365 kerana disyaki melakukan samun berkumpula­n dan menculik.

Mahkamah membenarka­n reman tujuh hari ke atas kelima-lima suspek sehingga 26 Ogos ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia