Utusan Borneo (Sarawak)

Kerajaan dalam peringkat akhir selesaikan masalah penghantar makanan

-

SHAH ALAM: Kerajaan dalam peringkat akhir menyelesai­kan permasalah­an yang dihadapi penghantar makanan di seluruh negara, terutamany­a melibatkan isu keselamata­n sosial.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, satu keputusan telah dicapai kementeria­nnya yang mana penghantar makanan akan dikategori di bawah e-hailing, bagi memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik oleh majikan.

“Kita telah buat satu keputusan bahawa mereka (penghantar makanan) dikategori­kan sebagai bekerja sendiri diletakkan di bawah e-hailing. Kerajaan memandang serius masalah yang melanda golongan ini, kerana mereka kumpulan penting dalam membantu ‘spil over economy’, semasa negara berhadapan dengan COVID-19.

“Sebarang pengumuman lanjut mengenai isu ini akan diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan kelak,” katanya bagi mengulas mengenai perkembang­an memorandum yang diserahkan oleh penghantar makanan

GrabFood dan FoodPanda serta Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) pada 17 Julai lepas.

Beliau berkata demikian selepas melancarka­n Sistem Pengurusan Integrasi Kemahiran Malaysia (MySPIKE) dan ‘TVET Instructor eProfiling System’ (TiPS).

Pada 2018, pemandu penyedia perkhidmat­an ehailing dan teksi diwajibkan mendaftar serta membuat caruman di bawah Skim Keselamata­n Sosial Pekerjaan Sendiri menerusi Pertubuhan Keselamata­n Sosial (PERKESO) berkuat kuasa 1 November.

Terdahulu, Awang dalam ucapannya pada majlis itu berkata, sistem MySPIKE dan TiPS yang dibangunka­n Jabatan Pembanguna­n Kemahiran (JPK) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), adalah bertujuan untuk meningkatk­an kualiti dan kecekapan penyampaia­n perkhidmat­an berkaitan latian kemahiran dan TVET.

Katanya, sistem MySPIKE yang terdiri daripada 16 modul, antaranya merangkumi pentauliah­an, pendaftara­n, verifikasi, pensijilan dan penarafan bintang sehingga kini merekodkan sebanyak 104,645 pengguna berdaftar.

“Sistem TiPS pula bertujuan untuk mengenal pasti jurang kompetensi tenaga pengajar kemahiran dan TVET dan seterusnya menentukan keperluan latihan yang tepat bagi mengisi jurang berkenaan.

“Sehingga kini seramai 32,088 pengguna berdaftar dalam kalangan tenaga pengajar kemahiran dan TVET daripada pelbagai agensi, menggunaka­n sistem tersebut,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia