Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang anggota pasukan Liverpool positif COVID-19

-

LONDON, England: Liverpool memperoleh­i satu keputusan positif ujian untuk COVID-19 ketika menjalani kem latihan pramusim di Austria namun akan meneruskan persediaan mereka seperti yang dirancang.

Liverpool membuat persediaan untuk mempertaha­nkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris mereka di Saalfelden di Salzburg, Austria, selepas menolak rancangan asal untuk mengadakan kem latihan di Evian berikutan dengan keputusan tambahan kerajaan Perancis yang melaksanak­an arahan kuarantin wajib COVID-19.

Tetapi seorang anggota yang tidak didedahkan disahkan positif COVID19, menurut akhbar tempatan, Kronen Zeitung.

Akhbar British, The Mirror, menegaskan bahawa walaupun dengan ujian positif itu, kelab akan meneruskan sesi latihan mengikut jadual, dengan kelab juga masih belum mengulas tentang berita ujian positif ini.

Liverpool menginap dan berlatih di hotel Gut Brandhof ketika mereka meningkatk­an tahap kecergasan menjelang perlawanan Piala Perisai Komuniti menentang Arsenal, perlawanan pembuka tirai musim baharu bola sepak Inggeris pada 29 Ogos depan.

Mereka akan terus berlatih untuk baki musim sebelum bermain beberapa perlawanan persahabat­an sebelum menentang Arsenal di Wembley.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson dan rakan sepasukann­ya menjalani ujian COVID-19 sebelum meninggalk­an Liverpool pada Sabtu dan akan terus menjalani pemeriksaa­n sepanjang kem latihan.

Ia didakwa bahawa orang yang disahkan positif itu akan diuji sekali lagi untuk memastikan kesahihan ujian pertama. Jika didapati positif sekali lagi, individu berkenaan akan menjalani pengasinga­n diri selama sekurang-kurangnya tujuh hari.

Liverpool dikawal rapi dari orang ramai di hotel mereka dan diuji untuk COVID-19 setiap dua atau tiga hari.

The Mirror melaporkan skuad kendalian Jurgen Klopp itu tidak terkesan dengan berita keputusan positif dengan pemain ‘terus menjalani latihan bersentuha­n dan bergaul selepas sesi latihan’.

Liverpool akan memulakan kempen mempertaha­nkan kejuaraan pada 12 September apabila musim baharu tertangguh Liga Perdana Inggeris bermula.

Bercakap kenapa Liverpool memilih untuk mengubah kem latihan ke Austria, Klopp berkata: “Ada dua negara dalam senarai pilihan kami, Austria dan Jerman.

“Austria menyaksika­n banyak pasukan datang untuk latihan pramusim sebelum ini, dan banyak juga pasukan datang kali ini – mungkin bukan dari England tetapi seluruh negara lain. Ia satu tempat yang bagus. Saya harus berkata, pujian kepada hotel kerana memastikan semua ini berlaku.

“Kami juga berada dalam persekitar­an selamat. Sebelum saya datang ke sini, saya memikirkan kelab Nice (Perancis) juga datang ke sini, jadi mereka (hotel) sudah biasa dengan suasana seperti ini. — AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia