Utusan Borneo (Sarawak)

Lanun Somali bebaskan tiga nelayan Iran ditahan sejak 2015

-

NAIROBI: Tiga nelayan Iran yang merupakan tebusan terakhir ditahan lanun Somali, dibebaskan selepas lima tahun dalam tawanan, seorang anggota dalam pasukan yang melakukan rundingan untuk pembebasan­nya memberitah­u AFP kelmarin.

John Steed, bekas pegawai tentera British yang sudah menghabisk­an masa bertahun-tahun melakukan rundingan untuk pembebasan tebusan lanun Somalia, berkata tiga lelaki dibebaskan pada Sabtu lepas, namun sedang menunggu saringan COVID19 untuk pergi ke Habsyah dan kemudian pulang ke rumah masing-masing.

Tiga tebusan itu adalah baki anggota kelasi sebuah kapal nelayan Iran FV Siraj, yang ditangkap lanun Somalia di luar pantai Somalia pada Mac 2015.

Kelasi keempat dibebaskan pada tahun lepas kerana dia memerlukan rawatan perubatan segera.

Baki tiga orang dalam keadaan “sangat kurus seperti yang dijangkaka­n” dan mempunyai masalah gastrik, namun begitu masih dalam keadaan baik, kata Steed, penyelaras bersama Program Bantuan Tebusan (HSP) di Nairobi.

“Ini benar-benar menandakan berakhirny­a satu era, antara 2010 dan 2019, lanun-lanun Somali sudah menahan lebih 2,300 kelasi sama ada ditangkap di atas kapal mereka atau sebagai tebusan,” kata seorang rakan HSF lain George Lamplugh dalam satu kenyataan dilihat oleh AFP kelmarin.

“Ramai yang diseksa, sebahagian meninggal dunia namun semua mereka mengalami trauma dengan pengalaman tersebut. Kami bersyukur kerana kami berjaya menyelamat­kan semua mereka yang masih tertinggal dan berada jauh dari bantuan biasa dari syarikat dan negara.”

Serangan lanun ke atas kapal maritim di luar pantai Somali meningkat kepada 176 pada 2011 sebelum jatuh mendadak pada tahun-tahun berikutnya. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia