Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga sekeluarga maut kemalangan di Bentong

-

KUANTAN: Tiga sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Km18 Jalan Bentong-Raub berhampira­n Lurah Bilut, Bentong kira-kira 130 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Yusof Unis berkata kejadian pada jam 8.25 pagi itu yang melibatkan dua buah kereta dan sebuah lori turut menyebabka­n empat yang lain cedera termasuk seorang parah manakala lima lagi selamat.

Mereka yang maut dikenal pasti sebagai Norasmah Ismail, 55, serta dua adiknya Masitah, 54, dan Muslaini, 48, dari Melaka yang menaiki kereta jenis Proton Exora dipandu lelaki berusia 21 tahun bersama tiga lagi ahli keluarga mereka.

“Semua mangsa difahamkan dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor ke Kelantan semasa kemalangan berlaku, dipercayai selepas pemandu mahu mengelak apabila kereta Proton Saga di depannya menekan brek kerana terdapat kerja penyelengg­araan jalan.

“Dia dikatakan cuba mengelak ke kanan namun terlanggar belakang kereta Proton Saga sebelum kereta Proton Exora tersebut masuk ke jalan bertentang­an dan bertembung dengan lori yang tidak dapat mengelak kerana jarak terlalu hampir,” katanya semasa dihubungi di sini, semalam.

Yusof berkata pemandu kereta Proton Exora itu dikejarkan ke Hospital Raub sementara tiga lagi ahli keluargany­a yang cedera termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun dirawat di Hospital Bentong termasuk seorang di zon merah.

Pemandu kereta Proton Saga dan tiga ahli keluargany­a serta pemandu lori berusia 37 tahun tidak cedera.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia