Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19: Lapan kes direkodkan semalam, lima penularan tempatan

-

PUTRAJAYA: Sebanyak lapan kes baharu COVID19 yang melibatkan lima kes penularan dalam negara dan tiga kes import dilaporkan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkembang­an terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif virus berkenaan sebanyak 9,257 kes dengan kes aktif kebolehjan­gkitan COVID-19 berjumlah 183 kes.

Katanya tiga kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara itu melibatkan seorang rakyat Malaysia dan dua bukan warganegar­a.

“Tiga kes import tersebut adalah dari Bangladesh (di Kuala Lumpur), Belanda (di Sarawak) dan Filipina (di Sabah).

“Kesemua lima kes penularan di dalam negara pula melibatkan warganegar­a Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak empat kes pulih daripada COVID-19 dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sebanyak 8,949 kes iaitu 96.7 peratus daripada jumlah keseluruha­n kes.

Beliau berkata tiada kes kematian berkaitan virus itu dilaporkan semalam menjadikan jumlah keseluruha­n kes maut kekal 125 kes.

Sehingga kini, lapan kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Memperinci­kan Kluster Tawar di Kedah, Dr Noor Hisham berkata dengan lima kes baharu dilaporkan bagi kluster itu menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 adalah sebanyak 63 kes.

Setakat jam 12 tengah hari semalam katanya, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini dan pengesanan kes serta saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia