Utusan Borneo (Sarawak)

Memupuk perpaduan kaum adalah tanggungja­wab bersama, kata Rosey

-

MIRI: Memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum adalah tanggungja­wab bersama agar persefaham­an dan rasa hormat dapat terus diperkukuh­kan.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, formula kejayaan dan kestabilan negara adalah melalui perpaduan.

“Oleh itu, semua kita yang berbilang kaum ini memainkan peranan masing-masing dalam mempertaha­nkan perpaduan yang menjadi tonggak keamanan dan kestabilan negara selama ini.

“Keunikan masyarakat majmuk kita di sini bukan sahaja kita yang pelbagai kaum, agama dan bahasa, tetapi suasana hidup harmoni turut menjadi model yang mahu dicontohi masyarakat di negara lain,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu berkata demikian pada Program Kempen Kibar Jalur Gemilang (KKJG) Rukun Tetangga Daerah Subis anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Miri serta Jawatankua­sa Permuafaka­tan Rukun Tetangga Darah Subis, bertempat di Arena Sibuti, Daerah Subis, Bekenu di sini semalam.

Menurut Rosey, perpaduan merupakan hadiah yang tidak ternilai dan merupakan asas dalam membina hubungan kekeluarga­an, kemasyarak­atan dan negara.

“Perpaduan ini bermula dari setiap individu. Jika ada perpaduan dalam pemikiran, emosi dan perbuatan kita, maka kekukuhan perpaduan itu dapat dicapai,” katanya.

Menyentuh mengenai program terbabit, Rosey mahu program sedemikian terus dilaksanak­an dalam usaha meningkatk­an kefahaman pentingnya mengibarka­n Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

“Adakan lebih banyak aktiviti yang turut boleh melibatkan para belia. Pada masa sama, boleh menubuhkan Kawasan Rukun Tetangga di kampung-kampung yang mempunyai penduduk ramai agar kemeriahan setiap aktiviti dapat dirasai,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia