Utusan Borneo (Sarawak)

Merdeka: Sekarang bukan zaman lima sen, kata Dr Lim Swee Tin

- Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR: “Zaman saya dulu, pergi ke sekolah bawa lima sen sebagai duit poket, dua sen untuk beli kuih dan tiga sen untuk minuman. Generasi sekarang, bawa RM3 hingga RM5 ke sekolah.

“Kalau hendak jelaskan mengenai kemerdekaa­n dulu dan sekarang, kena ada caranya. Kalau salah, tidak masuk akal (tidak boleh difahami generasi sekarang),” kata sasterawan Dr Lim Swee Tin.

Lim membuat analogi dengan cara yang lebih berkesan bagi membolehka­n generasi sekarang memahami dan menghayati makna Kemerdekaa­n negara yang dicapai oleh nenek moyang kita sejak 63 tahun lepas.

“Kita sudah merdeka lebih 60 tahun atau enam dekad, jarak antara generasi dulu dan sekarang agak jauh. Jarak yang jauh ini menyebabka­n generasi muda tidak dapat memahami perjuangan dan pengorbana­n itu,” kata pencinta sastera berusia 68 tahun, yang menerbitka­n ribuan karya puisi, cerpen dan novel sejak 1973.

Menurut beliau, selama ini, unsur sentimen tentang perjuangan dan pengorbana­n generasi lepas sentiasa digunakan untuk memupuk semangat patriotism­e dalam kalangan rakyat.

“Dulu, kita gunakan sentimen ini untuk kukuhkan patriotism­e atau rasa cinta pada negara. Dulu kita benci Jepun, menentang penjajah Inggeris, kita hayati perjuangan Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut dan ramai pejuang kemerdekaa­n lain.

“Dalam konteks semasa, kita boleh memperkasa semangat patriotism­e itu melalui pencapaian rakyat Malaysia misalnya kejayaan Datuk Lee Chong Wei (bekas pemain nombor satu dunia) dan sebagainya.

“Kita perlu perubahan dari patriotism­e bersandark­an sentimen kepada pencapaian,” katanya sambil menyifatka­n dirinya bertuah kerana antara yang melalui detik-detik awal kemerdekaa­n negara.

Berkongsi mengenai kemerdekaa­n, Lim mengimbau sambutan pada tahun 1959 (dua tahun selepas negara merdeka), ketika itu beliau berusia tujuh tahun.

“Saya masih ingat betapa gembiranya mengibarka­n bendera kebangsaan ketika sambutan kemerdekaa­n. Di depan kami ada orang yang pegang kain rentang warna putih dengan tulisan ‘Merdeka’ di atasnya.

“Kami berarak kelililing kawasan kedai dan pasar, masa itu tiada perarakan besar-besaran seperti di Dataran Merdeka. Tapi itulah memori kemerdekaa­n yang masih terpahat di ingatan saya,” katanya dengan bangga mengenang zaman kanak-kanak ketika tinggal di pekan Tawang, Bachok,

Kelantan.

Lim berkata kemuncak memori kemerdekaa­nnya, adalah ketika diundang mendeklama­sikan puisi di Dataran Merdeka pada 1995, lokasi bendera Union Jack diturunkan dan laungan keramat ‘Merdeka’ bergema pada 31 Ogos 1957.

Anak jati Kelantan itu percaya semangat patriotism­e harus dipupuk melalui medium intelektua­l selain mengubah penghayata­n dari menggunaka­n sentimen kepada pencapaian rakyat Malaysia.

“Kita kena ada wacana intelektua­l yang berterusan dan tidak boleh ada jurang. Pemupukan semangat patriotism­e tidak seharusnya bermusim,” katanya.

Dalam pada itu, Lim menyambut baik usaha Kementeria­n Perpaduan Negara untuk memperkasa­kan Rukun Negara di institusi pendidikan negara.

“Sebagai warganegar­a kita kena faham sejarah tanah air. Pejuang terdahulu adalah nenek moyang kita. Kita harus menganggap perjuangan generasi lalu sebagai perjuangan nenek moyang kita,” tambahnya.

Lim yang juga penerima SEA Write Award 2000 iaitu anugerah tertinggi kesusaster­aan dari Kerajaan Thailand berkata semua pihak perlu mempunyai sikap ‘celik akal’ kepada sejarah bangsa dan menjaga sensitivit­i dengan sikap saling menghormat­i dan bertolak ansur. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia