Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga maut dirempuh kereta dipandu warga emas

-

SEREMBAN: Tiga orang termasuk seorang pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Mambau, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian jam 6 pagi itu dua lagi yang maut adalah pasangan suami isteri, masing-masing berusia 44 dan 38 tahun.

“Kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari Seremban ke Mambau telah masuk ke laluan bertentang­an sebelum merempuh pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Demak.

“Selepas pelanggara­n itu, kenderaan terbabit yang berpusing turut melanggar seorang pejalan kaki wanita berusia 42 tahun di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu kesemua mangsa iaitu pejalan kaki, penunggang dan pembonceng motosikal telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia