Utusan Borneo (Sarawak)

Tahanan polis lari dari Hospital Alor Gajah ditangkap semula

-

ALOR GAJAH: Seorang tahanan polis yang melarikan diri ketika menerima rawatan penyakit sawan di Hospital Alor Gajah kelmarin, berjaya ditahan semula di Jalan Lendu, Kampung Kelemak pada jam 10.20 malam kelmarin, kurang enam jam selepas kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, lelaki berusia 41 tahun dari Masjid Tanah itu melarikan diri melalui tingkap bilik air namun disedari anggota polis yang bertugas pada jam 4.50 petang kelmarin.

“Suspek kemudian melarikan diri ke arah belakang hospital dan memasuki kawasan hutan, manakala anggota polis bersama pengawal keselamata­n cuba mengejar serta mendapatka­n bantuan bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Gerakan mengesan suspek melibatkan 50 orang termasuk pasukan Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA), penduduk kampung dan unit K9 sebelum suspek ditemui sedang menyorok di bawah kereta di tepi jalan besar Jalan Lendu, Kampung Kelemak pada 10.20 malam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, polis sebelum itu menahan suspek di rumahnya di Masjid

Tanah atas kesalahan memiliki dadah di Bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 19 Ogos lepas sebelum mengadu sakit sawan pada keesokan hari dan dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang sah.

Arshad berkata, pihak polis mengucapka­n terima kasih kepada orang awam yang membantu mengesan suspek dan menyalurka­n maklumat sehingga kes dapat diselesaik­an dalam tempoh yang singkat. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia