Utusan Borneo (Sarawak)

97 premis perjudian di PJ dipotong bekalan elektrik

-

PETALING JAYA: Polis semalam bertindak memotong bekalan elektrik 97 premis di sekitar bandar raya ini kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi bersepadu itu turut melibatkan Tenaga Nasional Berhad dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Apabila kami dapat maklumat, kami akan serbu dan potong terus bekalan elektrik premis yang dipercayai dijadikan tempat perjudian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini.

Dalam perkembang­an lain, polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, dekat sini kelmarin.

Nik Ezanee berkata, lelaki itu yang juga pemandu perkhidmat­an e-panggilan difahamkan telah bertengkar dengan ibu mangsa dan merupakan orang terakhir bersama kanak-kanak itu sebelum ibunya meninggalk­an rumah untuk membeli makanan.

“Apabila ibu mangsa yang berusia 23 tahun itu kembali (ke rumah) dia mendapati anaknya dalam keadaaan terbaring dan tidak sedarkan diri. Hasil siasatan awal mendapati ada kecederaan di bahagian belakang kepala mangsa dan (kanak-kanak) itu telah disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” katanya.

Nik Ezanee berkata, lelaki itu dikatakan memandu kereta Perodua Bezza berwarna biru dengan nombor pendaftara­n VCT 4194.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia