Utusan Borneo (Sarawak)

Skuad B-19 diuji lagi dalam dua perlawanan

-

PETALING JAYA: Skuad negara akan mengadakan dua lagi perlawanan pemanas badan sebagai persiapan awal menjelang Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad B19 negara, Brad Maloney berkata perlawanan menentang pasukan Liga Premier, Negeri Sembilan minggu depan dan sebuah lagi pasukan tempatan dalam tempoh dua minggu lagi akan menjadi platform penting bagi memperbaik­i persembaha­n serta mengikis perasaan gentar berdepan dengan pemain senior.

Sebelum ini, skuad B-19 itu dibelasah 6-1 oleh pasukan Liga Super, Petaling Jaya City FC pada 12 Ogos lalu dan kelmarin tewas 4-0 di tangan pasukan Liga Perdana, Selangor II pada aksi persahabat­an.

“Pemain akan menampilka­n apa yang dilakukan dalam sesi latihan pada dua perlawanan persahabat­an nanti dan berharap dapat melihat lebih banyak peningkata­n dalam aksi pemain,” katanya kepada pemberita sebelum sesi latihan fasa kedua melibatkan 35 pelatih di padang PKNS, di sini, kelmarin.

Jurulatih kelahiran Australia, bagaimanap­un, tidak mendedahka­n pemain yang akan dikekalkan pada sesi latihan pusat fasa ketiga minggu depan sebelum memuktamad­kan senarai 23 pemain ke Uzbekistan.

Dalam pada itu, penjaga gol muda negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri tidak mahu terlalu memikirkan mengenai kritikan dilemparka­n segelintir netizen di media sosial susulan dua kekalahan dialami skuad B-19 negara sebelum ini.

Pemain berusia 17 tahun itu, sebaliknya, tekad memperbaik­i kelemahan diri menjelang saingan sebenar pada Oktober depan.

“Kecaman itu perkara biasa, tapi apa yang baik kita ambil sebagai benda positif, dan menerusi dua kekalahan besar itu, ia memberi pengajaran kepada kami bagi memperbaik­i kekurangan yang ada.

“Saya juga akan berusaha meraih tempat dalam fasa seterusnya kerana persaingan di posisi penjaga gol agak sengit,” jelas anak jati Mersing, Johor itu.

Skuad kendalian Maloney diundi dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman pada Kejuaraan B-19 AFC - kejohanan yang akan menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia B-20 di Indonesia.

Skuad Harimau Muda itu akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan pada 16 Okt disusuli Qatar (19 Okt) dan Yaman pada 22 Okt. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERLATIH: Skuad Bola Sepak Negara B-19 kendalian Brad Maloney ketika sesi latihan di Kompleks PKNS, semalam.
— Gambar Bernama BERLATIH: Skuad Bola Sepak Negara B-19 kendalian Brad Maloney ketika sesi latihan di Kompleks PKNS, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia