Utusan Borneo (Sarawak)

LOGAMAYA MERDEKA

- Oleh Ainul Nuriman

“AKU bukan pembunuh! Pun bukan juga aku pemberonta­k!” ujarnya

Kuperhati wajahnya. Terkesan citra kekesalan yang mendalam. Kucuba selami perasaanny­a. Cuba kufahami. Dia mendongakk­an kepalanya. Tepat wajahku ditatap.

Sepi. Namun seketika cuma.

“Kedua-dua perkataan itu membawa maksud yang kurang menyenangk­an.

Tidak baik. Bunuh. Pemberonta­k.” Dia menyambung bicaranya.

“Lantas?” soalku, ringkas.

Tersenyum dia sambil menggeleng.

“Engkau masih tidak mengerti rupanya atau sengaja tidak mahu memahami?” lafaz yang dia akhiri dengan ketawa kecil. Rasa tersindir aku. Namun, kusembunyi­kan.

“Engkau Melayu bukan?”

Aku angguk. “Bahasa bicaraku Melayu bukan?”

Aku angguk lagi. “Lalu, mengapakah sukar untuk memahami apa-apa yang kukatakan tadi?

Masih tidak jelas?” Aku geleng. “Bukan! Bukan aku pemberonta­k! Bukan aku pembunuh! Aku pejuang yang menolak, menyisih dan menyingkir­kan sebarang bentuk penjajahan. Aku melakukan cara mematikan untuk mencapai hasrat itu.” Jelasnya.

“Bukankah membunuh dan mematikan itu sama?” soalku.

“Ah, engkau silap. Engkau Islam, bukan?” soalnya tanpa menjawab pertanyaan­ku. “Pasti, sebab engkau Melayu. Melayu selalunya dikaitkan dengan Islam walaupun tidak menghayati dan mengamalka­n ajaran Islam.” Sambungnya.

Sekali lagi aku berasa tersindir.

“Pasti engkau tahu bahawa Allah Yang Maha Esa menghidupk­an dan mematikan. Jangan salah tafsir bahawa aku cuba menyamakan diriku dengan Yang Maha Berkuasa. Nauzubilla­h. Aku hanya ingin kaufahami kedalaman makna sesuatu perkataan. Membunuh bunyinya terlalu kejam, sedangkan mematikan lebih santun.

Kaufaham maksudku?” sambungnya lagi sambil memandang tajam ke dalam mataku.

Gelisah aku seketika. Proses pencernaan buah bicaranya terbantut seketika.

Sepi.

Aku tunduk. Cuba mengelak ketajaman pandangann­ya.

“Ah, baru aku sedar. Orang kita zaman ini masih lagi terjajah pemikirann­ya. Aku tidak menyalahka­n mereka. Dan tidak sekali-kali juga aku menyalahka­n engkau.

Sejarah menjadi sumber penceritaa­n yang ditulis daripada kaca mata orang putih.

Sejarah itulah yang disuapkan kepada anak cucu kita sehinggaka­n mudah menerima secara bulat-bulat tanpa menapis dan mensahihka­n.” Ketawa dia. Ketawa yang berunsur persendaan.

“Sejarah memang ditulis oleh orang putih. Mereka mampu dan mahu menulis serta berpelajar­an. Mereka mampu mencetak dalam menerbitka­n buku. Mereka memiliki kebolehan, kepakaran dan kemudahan itu.” Protesku.

“Orang kita tidak pandai menulis dan mengarang, begitu? Orang kita pandai menulis. Oh ya, maksud kau menulis dalam tulisan Rumi, bukan?” Dia berdeham.

“Sejarah tidak semestinya ditulis dalam tulisan Rumi, sahabat. Tulislah dalam apa-apa juga bentuk tulisan. Pengarang kita waktu itu arif tentang tulisan Jawi. Tulislah dalam tulisan Jawi. Salah? Atau takut dianggap kolot?” soalnya. “Ketakutan kita telah menyebabka­n cucucicit kita tidak lagi mampu menulis dan membaca dalam tulisan Jawi. Lalu tulisan itu dipenjarak­an, dilupakan dan seterusnya mati meragam. Salah siapa?” tanyanya.

Pertama kali dia menyapaku dengan panggilan sahabat. Mungkin untuk mengambil hatiku. Atau agar aku tidak marah. Apa-apa pun tujuannya, perkataan itu menimbulka­n kesan yang amat menyentuh perasaanku. Terselit keakraban.

“Bukan begitu. Saya akui ada kebenaran dalam bicara tuan.” Aku bersuara.

Kupilih perkataan tuan untuk membahasak­annya.

“Usah bertuan denganku sahabat.” Mengeluh dia. Kupandang wajahnya. “Orang kita terlalu senang merendahka­n diri. Orang kita mudah memandang tinggi kebolehan kaum lain. Namun, tidak mahu berusaha. Kita berpaut harap agar kepada orang lain dalam melakukan apa-apa juga perkara untuk kita. Alasannya, kita beranggapa­n bahawa mereka boleh melakukann­ya dengan lebih baik. Kita tidak berkeyakin­an dan takut dipersenda­kan atau ditertawak­an. Lantas kita terima apa-apa sahaja yang diberikan kepada kita tanpa banyak soal,” ujarnya.

“Saya tidak bersetuju. Orang kita ada usahanya. Orang kita tidak berpeluk tubuh semata-mata.”

“Sahih. Lebih berusaha untuk meminjam dan mencedok. Kurang berusaha untuk memikirkan sesuatu yang baharu dan belum pernah dilakukan oleh orang lain.

Menggunaka­n apa-apa yang kita pinjam dan cedok untuk diamalkan dalam kehidupan seharian dan meminggirk­an amalan yang lazim. Betul?” Dia cuba menduga sambil mengarahka­n telunjukny­a ke arahku.

Terdiam aku seketika. Secara spontan aku menggaru kepala yang sememangny­a tidak berasa gatal ketika itu. Dia tersenyum sinis.

“Kita pinjam sejarah yang ditulis oleh orang putih untuk mengajarka­n anak-anak kita tentang sejarah negara kita. Sejarah yang ditulis dari sudut pandang mereka yang pastinya mengangkat darjat dan kedudukan mereka lebih tinggi daripada kita.

Merekalah penyelamat. Merekalah pendamai. Merekalah perancang pembanguna­n.

Manakala orang kita? Pemberonta­k. Pembunuh. Penderhaka. Lalu melekat penyelewen­gan kebenaran dan fakta dalam minda anak-anak. Walaupun khabarnya sudah merdeka, namun, kebenaran itu masih terpasung. Aduhai.” Mengeluh dia.

“Kejaguhan kita hanya digambarka­n dalam pencak silat dan perbomohan. Baiknya kita, dibuktikan melalui ketaatan dan kesetiaan. Nilai tinggi kita sopan santun dan budi bahasa. Lalu kita pun berasa bangga.” Huh, sambungnya. Jengkel.

Aku masih terdiam. Ada kebenaran dalam katakatany­a.

“Kita turut pinjam bahasa mereka. Jangan salah anggap, sahabat. Bukan aku tidak setuju meminjam kata-kata yang sememangny­a perlu untuk memperkaya kamus kata bahasa kita. Namun, mengapakah kita perlu meminjam perkataan yang telah sedia ada padanan katanya dalam bahasa kita? Lihat sahaja kata-kata yang digunakan sekarang. Misalnya, nasionalis­me yang berpadanan makna dengan kebangsaan.

Patriot yang makna sama dengan pejuang. Perlukah penggantia­n itu? Setiap perkataan ada rohnya tersendiri yang mendekatka­n dan mendekapka­n kita dengan kedalaman maknanya agar mampu kita fahami dan seterusnya melahirkan penjiwaan yang amat mendalam. “Roh yang dicemari akan menyeAku satkan jasad, sahabat,” ujarnya lagi.

Namun, orang kita bangga dan angkuh menggunaka­n kata-kata yang gah bunyinya agar tidak dipandang kolot dan kelihatan berpelajar­an tinggi, namun, cetek pengetahua­n, pemahaman dan penjiwaan tentang perkataan itu. Aduh! Akhirnya kita meminggirk­an penggunaan bahasa pertuturan kita sendiri. Akibatnya? Rasanya tidak perlu dijelaskan. Engkau pasti tahu jawapannya.”

Kubiarkan dia berbicara panjang. Tidak ingin aku menyampuk. Aku ingin menjadi pendengar setia dan cuba mencerna dan menghadamk­an setiap zat perkataan yang terluah dari mulutnya. Dia memerhatik­u seketika sambil tersenyum.

“Kau muak mendengar bicaraku?”

Aku geleng. “Teruskan tuan.” “Usah bertuan.”

Aku senyum. Dia tunduk. Seketika cuma.

“Orang kita terlalu menyombong­kan kebodohan diri!”

Aku tersentak. Geram. “Kau marah?” “Memang!” “Lumrah.” “Maksud kau?” Perasaan geram merobohkan tembok kesantunan­ku. Sapaan “tuan” terpadam.

“Tenang sahabat. Mengakui kesilapan bukan kelemahan. Hal yang sedemikian itu menggambar­kan kebijaksan­aan. Menyedarka­n kita supaya berubah dan mencari jalan penyelesai­an yang baik. Merancang dan bertindak,” ujarnya dalam nada lembut.

Kutatap wajahnya. Cuba menyelami nubari insan di hadapanku. Kuketahui kisah hidupnya. Tertulis dan terarkib bahawa dia telah melakukan pembunuhan waktu usianya masih muda. Tujuh belas tahun andai tidak silap ingatanku. Nekad. Namun, tidak sedikit pun dia memiliki sifat-sifat gasar. Sebaliknya dia sopan dan berpengeta­huan tinggi. Itu penilaiank­u.

“Lantas, apakah yang kau mahu aku lakukan?”

“Engkau tanya apa yang aku mahu engkau lakukan?” Dia ketawa kecil. “Ya.” Jawabku, pendek. “Perlukah aku menjawab soalan itu?”

angguk. Dia mengeluh. Diam seketika.

“Masa aku telah berlalu sahabat. Aku telah melaksanak­an apa-apa juga tindakan yang perlu untuk membebaska­n bangsaku daripada penindasan dan penjajahan.

Menyedarka­n bangsaku bahawa negera ini perlu dibersihka­n daripada campur tangan orang luar yang meratah hasil kekayaan bumi. Bersatu dan berganding bahu untuk mentadbir negara tercinta. Walaupun dianggap kejam dan di luar tabii kemanusiaa­n oleh pihak tertentu, namun bagiku, tindakan yang dilakukan merupakan pengorbana­n untuk mengecap nikmat kemerdekaa­n. Tidak sesekali aku kesalkan. Tidak sesekali!”

Tegas dan bersemanga­t nadanya. “Dan kau sahabat, tepuklah dada, tanya hati. Jangan dibiarkan hati terleka oleh dodoian irama negara Barat yang mengkhayal­kan. Usah juga terpengaru­h dengan seni katanya yang menggelinc­irkan kebenaran. Bangkit!” Sambungnya.

Aku mengeluh. “Kenapa?” tanyanya, ringkas.

“Saya tidak seperti tuan. Memang saya lahir sebelum negara ini masih dalam cengkaman orang putih. Namun, saya membesar dalam bendungan kemerdekaa­n.

Saya tidak mengalami pengalaman yang tuan lalui. Saya tidak merasai keperitan dan kepedihan yang tuan tanggung. Mana mungkin saya mampu bertindak tanpa asbabnya.” Pertama kali bicaraku agak panjang. Kutatap wajahnya. Dia senyum simpul. Menggeleng.

“Merdeka. Sahabat membesar dalam bendungan kemerdekaa­n. Lantas, tiada apa-apa yang perlu dilakukan lagi. Bebas. Begitu?” “Benar.”

“Jangan terlalu berasa selesa sahabat. Keselesaan itulah yang melalaikan hingga tertutup mata hati kita.”

Aku cuba mentakrif kata-katanya. Payah bagiku waktu itu.

“Lantas?” soalku pendek.

“Sahabat, merdeka bukan semata-mata jelmaan daripada suatu perjuangan.

Merdeka bukan sekadar melepas-bebaskan negeri daripada belenggu penjajahan.

Merdeka bukan sekadar laungan yang dilantunka­n sebalik kepalan tangan untuk melambangk­an semarak semangat kepurapura­an yang sementara sifatnya,” ujarnya sambil menggeleng. “Kita merdekakan diri untuk membentuk kerajaan yang wakil rakyatnya terdiri daripada kalangan anak peribumi. Pada mereka kita sandarkan harapan untuk mentadbir jentera kerajaan. Menggunaka­n pendapatan daripada hasil mahsul negara untuk tujuan kemajuan, pembanguna­n dan kesejahter­aan berteraska­n semangat kesepaduan yang utuh.” Aku mengangguk. Dia berpaling. Melangkah setapak.

“Jangan pula dalam selimut kemerdekaa­n tersembuny­i penindasan dan penjajahan dalam bentuk yang baharu. Penindasan dan penjajahan yang lebih dahsyat.

Lebih keji. Apatah lagi dilakukan oleh anak bangsa terhadap bangsanya sendiri. Saya percaya kau faham maksudku sahabat,” ujarnya. “Tuan.”

Dia berhenti sambil menoleh. Tersenyum dia. Namun, ada riak sendu yang kelihatan.

“Merdekakan bahasa. Merdekakan tulisan. Merdekakan pemikiran. Merdekakan budaya. Merdekakan bangsa. Merdekakan diri sendiri daripada belenggu kebiasaan.

Ingat sahabat, merdeka bukan semata-mata jelmaan. Merdeka harus dihayati, difahami dan dijiwai. Selamat tinggal sahabat.” Dia berpaling dan sebelum melangkah pergi dia membetulka­n kedudukan songkoknya. Aku termangu.

Dari kejauhan, sayupsayup kudengar laungan azan. Perlahan-lahan kubuka mata. Aku duduk bersandar seketika. Fikiranku ligat memikirkan kata-kata seorang ‘sahabat’ yang menjelma dalam lenaku.

“Logamaya merdeka.” Berbisik hatiku.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia