Utusan Borneo (Sarawak)

COVID-19, PKPP sepatutnya bukan halangan rakyat sambut Merdeka

-

KOTA TINGGI: Penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini, sepatutnya bukan menjadi penghalang bagi rakyat menyambut hari kemerdekaa­n negara ke-63, pada 31 Ogos ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, rakyat perlu terus menyemarak­kan sambutan kemerdekaa­n negara, walaupun dalam suasana negara berdepan dengan COVID19 dan pembudayaa­n norma baharu.

“Walaupun penularan COVID-19 telah memberikan banyak kesan langsung kepada kesihatan awam, alam pekerjaan, perniagaan, ekonomi negara, persekolah­an, pengajian tinggi, aktiviti keagamaan, hubungan keluarga, malah menguji silaturahi­m dan persahabat­an di negara ini, ia bukan menjadi alasan untuk lunturnya semangat patriotik dalam kalangan rakyat bagi mengenang detik kemerdekaa­n negara,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata demikian pada penutup program Semarak Merdeka Kota Tinggi Prihatin 2020, bersempena Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020, di sini semalam.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Penerangan Johor.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Johor Sabarudin Yeop Hamza dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kota Tinggi Fauzan Mohd Sabalas.

Program dua hari bermula kelmarin itu disertai seramai 150 belia dari Majlis Belia Daerah Kota Tinggi menerusi konvoi kenderaan sejauh 200 kilometer ke lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tenggara, Kota Tinggi serta Pengerang.

Konvoi tersebut menganjurk­an pelbagai aktiviti menyedarka­n masyarakat bagi menjalani kehidupan dalam suasana norma baharu serta kaedah mematuhi prosedur operasi standard PKPP.

Dr Adham, berkata terdapat negara yang mengumumka­n sudah hampir kehabisan ikhtiar untuk membendung wabak COVID-19 dan ada yang hampir kehabisan sumber untuk mempertaha­nkan ekonomi negara mereka.

Namun katanya, Malaysia telah berupaya membantu rakyat dengan pelbagai inisatif termasuk menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara dan rakyat telah mendapat manfaat dari pemulihan ekonomi yang dijalankan oleh kerajaan itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia