Utusan Borneo (Sarawak)

123 individu dikompaun, 12 direman ingkar PKPP

-

KUALA LUMPUR: Seramai 123 individu dikompaun manakala 12 direman atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara kesalahan dilakukan adalah kehadiran orang ramai yang menyukarka­n penjarakan fizikal melibatkan 55 individu; 37 individu (aktiviti dalam pub atau kelab malam), 30 (gagal sediakan peralatan atau catatan keluar masuk), lima (tidak memakai pelitup muka) serta seorang gagal mematuhi arahan kuarantin.

“Semalam (kelmarin), PDRM mengadakan 459 pemeriksaa­n terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan telah mengambil tindakan terhadap seorang individu kerana gagal mematuhi SOP (prosedur operasi standard),” katanya dalam kenyataan berhubung perkembang­an PKPP, semalam. Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara pula, beliau berkata PDRM mengadakan 62 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 28,272 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamany­a di lorong tikus.

“Pihak PDRM berjaya menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatka­n kawalan kawasan sempadan,” katanya.

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga kelmarin, 15,866 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabang­sa dan kesemua ditempatka­n di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu dan Labuan.

Daripada jumlah itu, seramai 7,740 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan dan 8,083 individu telah didiscaj serta dibenarkan pulang.

“Mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya.

Ismail Sabri berkata penguat kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut melakukan 1,302 pemeriksaa­n khas pematuhan PKPP dan mendapati 1,288 premis mematuhi SOP yang ditetapkan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia