Utusan Borneo (Sarawak)

TANGANI GEJALA RASUAH

Syarikat milik kerajaan di Sarawak digesa berpegang teguh kepada nilai integriti.

- Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di Sarawak digesa untuk berpegang teguh kepada nilai integriti dalam usaha menangani gejala rasuah.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, amalan itu perlu dibentuk dari awal dan diterapkan sebagai jati diri dalam kalangan kakitangan mereka.

“Ini kerana hanya nilai integriti, kejujuran dan amanah yang kukuh dalam diri seseorang dapat menangkis godaan rasuah.

“Tanpa nilai-nilai berkenaan, amat mudah bagi sesiapa sahaja terjebak dalam rasuah, penyelewen­gan dan penyalahgu­naan kuasa sematamata untuk mendapatka­n habuan kewangan dan material,” katanya pada Majlis Pelancaran Polisi AntiRasuah dan Anti-Korupsi (ABAC) Senari Synergy Sdn Bhd di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Menurut beliau, Kerajaan Sarawak menyedari bahawa mana-mana organisasi harus mempunyai nilai integriti yang tinggi bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia.

Oleh itu, beliau memuji inisiatif dilakukan Senari Synergy dengan melancarka­n polisi ABAC dalam kalangan kakitangan­nya, seiring dengan hasrat Kerajaan Sarawak untuk menjadi negeri maju berintegri­ti tinggi menjelang 2030.

“Syarikat yang mempunyai nilai seperti ini akan dapat memberi kepuasan lebih baik dan berkualiti kepada semua pihak yang berkepenti­ngan sekali gus, mendorong mereka mengembang­kan perniagaan yang lebih kukuh dan bereputasi baik.

“Justeru, saya harap lebih banyak GLC akan mengikuti inisiatif yang dilakukan Senari Synergy hari ini,” tambah beliau.

Terdahulu, Pengarah Urusan Kumpulan Senari Synergy Jefri Ahmad Tambi berkata pihaknya komited untuk memelihara dan memupuk integriti, telus dan pentadbira­n yang baik dalam semua aspek operasinya.

Senari Synergy katanya, telah mengamalka­n toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan percaya bahawa integriti sebenar adalah melakukan perkara yang betul apabila tiada sesiapa yang melihat.

“Perjalanan integriti kami dimulakan dengan menandatan­gani Ikrar Integriti Korporat pada 2016.

“Ikrar tersebut menandakan pengisytih­aran kami terhadap amalan rasuah, ketetapan untuk berusaha ke arah persekitar­an perniagaan Malaysia yang berprinsip dan komitmen untuk mengembang­kan asas dan persekitar­an perniagaan yang kukuh berdasarka­n nilai moral, etika dan integriti yang baik,” ujarnya.

Sejak itu Senari Synergy telah melaksanak­an proses dan prosedur yang ketat untuk memastikan kepatuhan dan mengurangk­an kemungkina­n pelanggara­n sistem dan prosesnya, tambah Jefri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia