Utusan Borneo (Sarawak)

Perbicaraa­n kes lelaki maut dalam pergaduhan di Lundu bermula semalam

-

KUCHING: Perbicaraa­n kes empat lelaki yang didakwa membunuh seorang individu dalam satu pergaduhan di Lundu tahun lalu bermula di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Winston Jee, 27, Joseph Durus, 35, Jemferry Durus, 43, dan Andi Selutan, 48, masing-masing didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mereka didakwa dengan niat bersama menyebabka­n kematian seorang lelaki, Besim Bujang, 43, pada 23 September 2019, jam 1.40 pagi di Kampung Perian, Lundu.

Timbalan Pendakwa Raya Hayda Faridzal Abu Hasan semasa perbicaraa­n pagi kelmarin berkata, pihak pendakwaan akan bergantung kepada bukti perubatan serta bukti saintifik, selain mengikut keadaan langsung untuk membuktika­n kes terhadap tertuduh.

Perbicaraa­n yang bermula kira-kira jam 11 pagi di hadapan Pesuruhjay­a Kehakiman Alexander Siew How Wai itu menampilka­n pihak pendakwaan memanggil seorang jurugambar untuk memberikan keterangan.

Pada sebelah petang pula, dua saksi iaitu ahli kimia dan doktor forensik dipanggil.

Seramai 15 saksi pendakwaan dijangka memberi keterangan terhadap tertuduh yang diwakili peguam, Francis Teron Kadap.

Menurut laporan terdahulu, kejadian berlaku apabila seorang lelaki dari Kampung Perian membawa seorang wanita dari Kampung Sebandi.

Susulan itu, kira-kira 10 lelaki pergi ke kampung berkenaan menaiki tiga kenderaan untuk mengambil balik wanita tersebut.

Namun, setibanya mereka di lokasi kejadian, berlaku pertengkar­an dan pergaduhan melibatkan senjata tajam sehingga menyebabka­n mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Perbicaraa­n bersambung hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia