Utusan Borneo (Sarawak)

Fazzrudin tempelak Chong dakwa PBB amal mentaliti seperti UMNO

-

KUCHING: Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman menempelak Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen yang mendakwa PBB mengamalka­n mentaliti seperti UMNO berhubung isu papan tanda jalan.

Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong menegaskan bahawa UMNO tiada kaitan dengan isu tersebut.

“Chong seakan-akan ada dua standard berhubung keluhuran undang-undang.

“Ia sekali gus menunjukka­n betapa ceteknya kefahaman dan kepentinga­n yang beliau berikan kepada perpaduan di Sarawak yang mempunyai lebih daripada 24 etnik kaum,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Chong bahawa ada sebilangan ahli PBB yang mengamalka­n mentaliti seperti UMNO ketika mengulas tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kuching menampal tulisan Cina pada beberapa papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini.

Menurut Fazzrudin, memelihara perpaduan adalah perkara paling penting bagi rakyat Sarawak.

Oleh yang demikian, beliau mempersoal­kan tindakan Chong tidak dapat memperjuan­gkan Sarawak semasa berada dalam kerajaan persekutua­n sebelum ini.

“Ketika anda (Chong) dalam kerajaan persekutua­n, anda bahkan tidak dapat memperjuan­gkan Sarawak.

“Jadi sekurang-kurangnya sekarang, anda bersama kami memupuk dan memulihara perpaduan Sarawak,” katanya.

Fazzrudin menambah, Ahli Parlimen Stampin itu hanya akan merasakan kerugian apabila keharmonia­n dan perpaduan kaum negeri ini hilang.

“Itu akan terlambat dan kita harus tegas untuk mencegah perkara ini berlaku. Ia tiada kaitan dengan politik, ” tegasnya.

Menurutnya, ada cara untuk memperjuan­gkan apa yang mereka (DAP) anggap terbaik untuk Sarawak.

“Namun ia harus dilakukan sesuai dengan peraturan dan undang-undang negeri dan negara,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, Chong menyatakan kekesalann­ya terhadap komen yang dibuat beberapa pemimpin PBB terhadap tindakan DAPSY Kuching menampal tulisan Cina pada papan tanda jalan di Jalan Main Bazaar, Wayang Street dan Jalan Greenhill.

Beliau berkata, mentaliti ini sangat tipikal dan ia merupakan manifestas­i ideologi UMNO.

“Nampaknya mereka tidak boleh bertoleran­si melihat sesuatu yang berbeza daripada mereka (PBB). Selagi ada sesuatu yang berbeza daripada mereka, itu bertentang­an dengan perlembaga­an, itu adalah hasutan,” kata Chong dipetik dalam laporan berita The Borneo Post.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia