Utusan Borneo (Sarawak)

Taylor Swift hulur derma untuk dana universiti seorang gadis di London

-

IKON pop Amerika Syarikat Taylor Swift telah menderma lebih £23,000 (RM138,000) kepada seorang gadis di London yang mengutip dana untuk melanjutka­n pengajian di universiti.

Vitoria Mario, 18, mendapat tempat untuk belajar matematik di Universiti Warwick, Britain, tetapi tidak mampu untuk menyara diri sendiri.

Dia meminta bantuan dari ratusan syarikat dan malah menyimpan nota dalam peti surat rumah dalam kawasan mewah, tetapi dalam keadaan terdesak beralih kepada kaedah ‘crowdfundi­ng’ dalam talian – dan Swift berhubung dengannya.

“Vitoria, saya terjumpa cerita anda dalam talian dan begitu diilhamkan oleh dedikasi dan semangat anda untuk mengubah impian anda menjadi realiti,” tulis bintang pop itu selepas dia menderma £23,373.

“Saya mahu menghadiah­kan anda baki bagi jumlah yang anda sasari. Selamat maju jaya dengan segalanya yang anda buat! Dengan kasih sayang, Taylor.”

Swift tidak membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai sumbangan itu tetapi akaun rasminya dalam Twitter menyukai satu ciapan tentang cerita itu yang dipaparkan oleh salah seorang rakan Mario.

Mario berkata sumbangan itu “mengujakan saya”, dan memberitah­u televisyen BBC: “Saya menganggap­nya sebagai satu keberkatan.”

Menurut lamannya dalam GoFundMe, Mario berhijrah ke London empat tahun lalu dari Portugal tanpa kefasihan dalam bahasa Inggeris, tetapi memperoleh­i markah tertinggi dalam semua peperiksaa­nnya.

Dia menetapkan sasaran bagi dirinya untuk mengutip £40,000 (RM240,000) bagi penginapan universiti dan kos sara hidup selama empat tahun – yang dia kini sudah atasi.

“Malangnya, ayah saya sudah meninggal dunia, dan ibu saya masih tinggal di Portugal. Meninggalk­annya adalah satu cabaran tetapi ia adalah satu pengorbana­n yang berbaloi untuk dilakukan, pada pandangan keluarga saya,” dia menulis. Menurut media AS, Swift pernah memberi sumbangan spontan kepada peminat dan sejak wabak koronaviru­s bermula, telah menghantar sekotak barang niaga kepada seorang jururawat di Utah selain membantu menyara pekerja di sebuah kedai rekod yang ditutup di Nashville.

— AFP

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia