Kesaksamaan gender perlu beri peluang kepada wanita sebagai pemimpin, pembuat keputusan
KUCHING: Kesaksamaan gender diperlukan bagi memberi peluang kepada wanita sebagai pemimpin di peringkat atasan dan terlibat sama SEBAGAI pembuat keputusan demi mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Kelurga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian sambil percaya lebih banyak usaha perlu dijalankan bagi mencapai hasrat berkenaan.
“Pengurusan pentadbiran dalam negara dan kepimpinan di peringkat agensi awam hari ini baharu menyaksikan wanita kita mencapai 20.4 peratus posisi iaitu masih di bawah sasaran sebenar sebanyak 30 peratus sebelum menjelang 2030.
“Atas dasar banyak sebab, wanita kita sering mundur ke belakang daripada penglibatan dalam masyarakat awam, pejabat awam atau politik untuk membawa kepada pembangunan sosial yang ideal.
“Perkara ini perlu diubah kerana pandangan daripada golongan wanita juga amat diperlukan untuk disuarakan dalam pelaksanaan polisi sosial,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan Sayap Wanita Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, lewat petang kelmarin.
Kesaksamaan penyertaan dan peluang yang diberikan kepada golongan wanita amat penting kerana kerja serta sumbangan mereka itu saling melengkapi peranan lelaki dalam pembangunan negara, tegasnya.
Beliau pada majlis itu turut menyeru kepada pembuat keputusan tertinggi agar wanita Bidayuh diberi peluang memegang jawatan tertinggi dalam masyarakat sebagai penghulu, temenggung atau pemanca.
“Wanita Bidayuh sangat berkaliber dan berpendidikan, berketrampilan, tidak kalah berbanding kaum lain di Sarawak dan jelas Sayap Wanita DBNA turut memperjuangkan ‘1 hati, 1 minda, 1 Bidayuh’ iaitu pembangunan lestari bernombor 5 dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) manjadikan ia lebih relevan,” jelasnya.
Fatimah turut menyokong usaha Wanita DBNA dalam mengekang serta menjalankan pelbagai usaha advokasi bagi masyarakat Bidayuh terhadap penyalahgunaan dadah, lantas digalakkan bekerjasama dengan Majlis Pembangunan Sosial di kementeriannya untuk mengadakan lebih banyak aktiviti dan kempen kesedaran pada masa depan.
Pada masa yang sama, beliau turut memuji usaha DBNA kerana sentiasa memulihara keunikan kebudayaan bangsa Bidayuh sambil menggesa lebih ramai wanitanya memasarkan produk mereka dalam talian khususnya golongan suri rumah dan ibu tunggal.
Pada majlis itu, Fatimah juga telah mengumumkan geran berjumlah RM5,000 kepada DBNA.
Majlis dihadiri Pengerusi DBNA Datu Ik Pahon Joyik dan Pengerusi Sayap Wanita DBNA Ahli Majlis Theresa Dunstan.