Utusan Borneo (Sarawak)

150 kartun unik di pameran Kartun Antarabang­sa Malaysia 2020

-

KOTA BHARU: Sebanyak 150 kartun unik bertemakan ‘Cintai Warisan Kita’ hasil karya pelukis dari pelbagai negara dipamerkan di Pameran Kartun Antarabang­sa Malaysia 2020 yang sedang berlangsun­g di Balai Seni Lukis Kelantan di sini.

Pengerusi Jawatankua­sa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelanconga­n Kelantan Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata kartun yang dipamerkan itu merupakan karya terpilih daripada 400 karya yang dihantar oleh kartunis dari 44 negara dalam pertanding­an menerusi laman web sebelum ini.

“Setiap peserta mengirim penyertaan melalui laman web pertanding­an, dan para pemenang sudah diputuskan oleh juri pada Julai lepas. Daripada jumlah itu hanya 150 karya yang dipilih untuk dipamerkan di Balai Seni Kelantan sehingga akhir bulan ini.

“Tempat pertama dimenangi oleh peserta dari Indonesia Iaitu Jilet Kustana, 53, peserta kedua dari China iaitu Liang Weichi, 46, dan tempat ketiga dimenangi oleh Makhmudjon Eshonqulov, 62, dari Uzbekistan,” katanya selepas merasmikan pameran itu di Balai Seni Lukis semalam.

Turut hadir Pengurus Balai Kartun Rossem (BKR) Rosidi Semail, Pengarah Kementeria­n Pelanconga­n dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Kelantan Mohd Aidil Afizie Daud dan Pengarah Perbadanan Muzium Kelantan Ahmad Shargowi Derahman.

Pameran berkenaan yang dianjurkan BKR dengan kerjasama Perbadanan Muzium Kelantan itu bermula 1 Ogos lepas dan akan berakhir pada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Md Anizam berkata karya seni kartun dilihat mampu menaikkan imej Kelantan di mata dunia apabila kartunis dapat menterjema­hkan warisan dan budaya negeri itu dengan unik selain menepati hasrat kerajaan negeri dalam memelihara warisan dan budaya Kelantan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia