RM5j untuk seni, budaya
KM berharap bakat-bakat muda negeri ini dapat diasah, diketengah sehingga ke peringkat tertinggi
“Kita sudah ada saluran televisyen kita sendiri dan melaluinya kita boleh menayangkan filem-filem pendek kita ke seluruh negara malah seluruh dunia kerana saluran televisyen kita ” dipancarkan menggunakan satelit.
Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
Ketua Menteri
MIRI: Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bagi merangsang serta membangunkan bidang kesenian dan kebudayaan kalangan rakyat negeri ini.
Dengan suntikan dana RM5 juta itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berharap bakatbakat muda negeri ini dapat diasah dan diketengahkan sehingga ke peringkat tertinggi.
Pada masa sama, beliau mahu dana itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menghasilkan filem-filem pendek berasaskan budaya negeri Sarawak melibatkan bakatbakat muda tempatan.
“Kita sudah ada saluran televisyen kita sendiri dan melaluinya kita boleh menayangkan filem-filem pendek kita ke seluruh negara malah seluruh dunia kerana saluran televisyen kita dipancarkan menggunakan satelit,” katanya pada jamuan malam sempena Mesyuarat Tiga Tahun Sekali Ke-16 SABERKAS di sini malam kelmarin.
“Dalam bidang nyanyian, kita ada Dayang Nurfaizah, dalam lakonan pula kita ada Henry Golding yang (ibunya) berasal dari Betong dan seorang lagi anak seni kita dari Sibu kini aktif dalam industri perfilemen di Hong Kong,” ujarnya.
Katanya, malah Sarawak turut melahirkan wanita cantik dinobatkan sebagai Miss World Malaysia (Ratu Cantik Dunia 2018) iaitu Larissa Ping dan terkini, Francisca Luhong memenangi Miss Universe Malaysia 2020 dan sebelum itu, Dewi Liana Seriestha memenangi Miss World Malaysia 2014 turut memenangi kategori bakat pada pertandingan peringkat dunia.
Ini membuktikan Sarawak tidak pernah kekurangan bakat-bakat seni dan budaya.
Abang Johari mengucapkan tahniah kepada Presiden SABERKAS Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah atas pemilihan dan pelantikan beliau sebagai peneraju pertubuhan itu.
Beliau turut melahirkan keyakinan bahawa SABERKAS berada di ‘tangan’ orang betul yang dapat memajukan dan membawa hala tuju belia di negeri ini ke satu tahap yang boleh dibanggakan.
Pada majlis itu, Abang Johari menyampaikan Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) sejumlah RM11.931 juta kepada 336 penerima di bawah pelaksanaan Agro Bank serta RM2.535 juta di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) untuk 93 penerima dan Skim Pinjaman Industri
Kecil dan Sederhana (SPIKS) juga di bawah SEDC sejumlah RM23.359 juta kepada 278 penerima.
Beliau turut menyerahkan dana untuk Program Usahawan Teknikal dan Vokasional (USTEV) dan Graduan Ke Arah Keusahawanan (GERAK) sejumlah RM3.197 juta melibatkan 188 peserta dan Program Peningkatan Usahawan Bumiputera (PUTERA) sejumlah RM23,089 juta melibatkan 6,050 peserta daripada golongan belia seluruh negeri.
Terdahulu, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan merangkap Menteri Belia dan Sukan dalam ucapannya berkata pertubuhan itu pada mesyuaratnya sebelah siang (Sabtu lalu) menetapkan syarat ahli-ahli SABERKAS dilantik sebagai ahli jawatankuasa eksekutif ialah berusia antara 16 hingga 40 tahun.
“Kami memutuskan dalam
mesyuarat dan kita mendapati mereka (ahli-ahli) mahu melihat exco terdiri daripada orang muda. Justeru, bagi anggota exco kita mengikuti garis panduan kerajaan menetapkan belia berumur 40 tahun ke bawah.
“Perkara ini telah dipersetujui pada mesyuarat agung dan kita harus akur dan memaklumkan kepada ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan),” katanya sambil menambah, dengan perubahan syarat usia itu maka SABERKAS berada di laluan sama dengan belia-belia peringkat umur seluruh negara dan dunia.
Abdul Karim turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada semua cawangan SABERKAS yang berdaftar di negeri ini agar mereka dapat menjalankan pertemuan dan aktiviti dengan lancar.
“Selain peruntukan ini, anda (cabang SABERKAS) juga dapat meminta dana daripada wakil rakyat masing-masing. Ini untuk pembangunan belia di daerah mereka sendiri,” katanya.
Turut hadir Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting dan Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang.