JKKK perlu pastikan kawasan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk
SRI AMAN: Kebersihan taman perumahan, rumah panjang dan kampung perlu dipelihara agar bebas daripada tempat pembiakan nyamuk, khususnya nyamuk aedes yang membawa penyakit denggi.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Francis Harden Hollis berkata, adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) setiap taman perumahan, rumah panjang dan kampung untuk memastikan kawasan kediaman mereka sentiasa selesa dan terhindar daripada segala bentuk penyakit.
“Jika kawasan anda kotor, ini pasti akan mengundang pelbagai penyakit seperti denggi, taun, demam kepialu dan sebagainya sekali gus membahayakan para penghuninya.
“Sebelum penyakit memporakporandakan kehidupan kita, saya menyeru ahli JKKK di setiap kawasan di daerah ini agar mengadakan program gotong-royong yang sekurang-kurangnya sekali sebulan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gotong-Royong dan Kempen Kebersihan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Cina dengan kerjasama Majlis Daerah Sri Aman (MDSA),
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat ADUN Simanggang dekat sini, kelmarin.
Menurutnya, gotongroyong perlu melibatkan kerja-kerja membersihkan persekitaran seperti menebas rumput, memastikan pengairan air tidak terhalang oleh longkang tersumbat, mengumpul sampah dan sebagainya.
“Kawasan yang tidak dibersihkan dengan sempurna berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya sambil menambah bahawa JKKK harus mengambil inisiatif sendiri tanpa mengharapkan kehadiran pihak MDSA dalam penganjuran gotong-royong.
Selain itu, Harden menegaskan bahawa aktiviti gotong-royong tidak harus dianggap bermusim sebaliknya perlu dilakukan dari semasa ke semasa, bukan menjelang perayaan sematamata.
“Jika kawasan kita bersih, ia pasti mencerminkan sikap para penghuninya yang bertanggungjawab dan peka dengan keadaan sekeliling,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau percaya ramai kini telah sedar tentang penyakit berbahaya seperti demam denggi menerusi kempen kebersihan yang dianjurkan oleh pihak majlis, pejabat kesihatan dan agensi kerajaan dan swasta.
“Berita tentang kempen kebersihan menerusi media massa juga secara tidak langsung memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan di tempat kediaman,” tegasnya.
Turut serta dalam program berkenaan ahli Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) serta ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Simangang.