UTP kekal prestasi cemerlang dalam ranking Universiti Asia
IPOH: Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengekalkan kedudukannya dalam kumpulan 601-800 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2021.
Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata universiti itu yang menerima skor 35, menduduki tempat ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Malaysia serta menjadi antara universiti terbaik di dunia.
Beliau berkata dengan status itu, UTP juga menjadi antara universiti swasta terbaik di Malaysia yang dibuktikan menerusi pengiktirafan secara konsisten oleh Quacquarelli Symonds (QS), THE, Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) serta Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA).
Katanya bagi QS Asia University Rankings 2020, UTP berada di kedudukan 82, menjadikan universiti itu satu-satunya universiti swasta di Malaysia yang berada dalam senarai 100 terbaik QS Asia selain melonjak 43 anak tangga ke posisi ke-439 dalam QS
World University Rangkings 2021.
“Prestasi UTP juga menyinar dalam negara apabila menjadi satu-satunya universiti swasta yang memperoleh penarafan enam bintang oleh MyRA untuk program penyelidikan dan pengkomersilan sejak 2015 dan juga untuk SETARA,” katanya dalam kenyataan semalam.
Selain itu, Mohamed Ibrahim berkata UTP juga berada di kedudukan ke-259 dalam QS World University Rankings by Broad Subject Engineering and Technology 2020.
“Ranking dan penarafan mempunyai nilai sebagai rujukan dan asas penanda aras rakan universiti yang membolehkan perbandingan institusi yang lebih bermakna berdasarkan pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, pembangunan pelajar dan kecemerlangan operasi,” katanya.
Katanya pengiktirafan itu akan membantu UTP memahami kekuatan dan kelemahan universiti bagi membolehkan institusi tersebut melaksanakan penambahbaikan secara berterusan. — Bernama