293 ditahan ingkar arahan pada hari ke-104 PKPP
KUALA LUMPUR: Pada hari ke-104 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelmarin, ramai rakyat Malaysia didapati masih berdegil dan ingkar arahan PKPP termasuk terlibat dalam aktiviti kelab malam.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 293 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan dengan 124 daripadanya terbabit dalam aktiviti kelab malam.
“Seramai 85 lagi tidak mengamalkan penjarakan fizikal, 31 orang pula gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri, 24 individu tidak memakai pelitup muka, 10 didapati menjalankan operasi premis lebih masa, sembilan tangkapan pendatang tanpa izin dan enam ditahan kerana premis beroperasi tanpa kebenaran. “Dua individu lagi didapati keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala dua individu gagal lunaskan caj kuarantin,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Ismail Sabri, daripada yang ditahan itu seramai 269 individu dikompaun, manakala 24 individu lagi direman.
Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 75 pendatang tanpa izin, lima penyeludup dan dua tekong ditangkap kelmarin, manakala empat kenderaan turut dirampas dalam operasi itu.
“Sebanyak 91 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, melibatkan Polis Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensiagensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 31,830 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam, dan kesemua mereka ditempatkan di 67 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian tinggi swasta. — Bernama