Gagasan Dr Udin untuk Membakut
Pelbagai isu tempatan dikongsikan calon WARISAN dalam menghadapi PRN kali ini
MEMBAKUT: Pelbagai isu tempatan sempat dikongsikan kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) Membakut (Calon No 4) Prof. Dr Mohd Kamaruddin Abd Hamid oleh pelbagai lapisan masyarakat di salah satu konstituensi Parlimen Kimanis ini, sepanjang lapan hari berkempen mengunjungi perkampungan.
Namun bukanlah isu-isu baharu tetapi adalah permasalahan yang berlanjutan yang tidak diselesaikan sejak 20 tahun lalu.
Antara isu permasalahan yang dikongsikan kepada Kamaruddin atau lebih mesra dengan panggilan Dr Udin, adalah isu pengangguran yang masih meningkat dan terusmenerus membelenggu masyarakat Membakut.
“Agak ramai juga graduan di Membakut ini yang sempat bertemu dan berkongsikan keperitan mereka mendapatkan pekerjaan.
“Lebih 100 graduan ini tidak mendapat pekerjaan meskipun telah mendapat segulung ijazah…saya agak bersimpati dengan mereka ini, sebab antara mereka ini adalah wanita dan agak sukar untuk berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mendapatkan pekerjaan.
“Pengamatan saya, apabila kita bercakap soal pengangguran ini, sudah semestinya berkait rapat dengan sektor ekonomi di sesuatu tempat itu, dan kita lihat kekurangan pertumbuhan sektor ekonomi di Membakut ini menjadi punca utama kepada peningkatan pengangguran dikalangan graduan kita.
“Lebih 20 tahun kelembapan ekonomi di Membakut ini dirasai oleh generasi muda kita, mereka juga ada pelajaran dan boleh dijadikan bekalan untuk mendapatkan pekerjaan, namun peluang pekerjaan tidak ada di Membakut ini sebab ketiadaan pertumbuhan sektor ekonomi.
“Merujuk kepada Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di Kimanis, terminal ini tidak mampu membuka banyak peluang pekerjaan disebabkan bidang ini amat khusus dan sudah semestinya memerlukan pengkhususan dalam bidang minyak dan gas dan lagipun ianya adalah terminal sahaja iaitu menyimpan minyak sebelum diangkut menggunakan ‘tanker’ ke terminal lain di Sarawak, dan tidak dapat membuka peluang pekerjaan banyak kepada anak tempatan.
“Seharusnya diwujudkan sektor ekonomi yang mampu mempergiatkan aktiviti ekonomi untuk pelbagai lapisan (segmen) masyarakat di sini. Tidak ramai anak kita yang mempunyai kelayakan dalam bidang minyak dan gas…oleh kerana itu kita harus memikirkan, sektor ekonomi yang mampan yang mampu menjana aktiviti ekonomi setempat (tempatan) dan membuka banyak peluang pekerjaan kepada pelbagai kategori kelayakan anak tempatan.
“Telah ada pelan pembangunan negeri untuk semua daerah-daerah yang berpotensi untuk dimajukan, dan sepanjang 26 bulan pemerintahan kerajaan WARISAN, Membakut adalah antara yang telah disenarai dalam pembangunan jangka panjang negeri…namun pelan pembangunan ini tidak sempat untuk dilaksanakan dan kita terpaksa sekali lagi mengadakan pilihan raya.
“Kita mengharapkan dengan kesedaran yang semakin meningkat dikalangan rakyat Sabah keatas ‘sumber kita hak kita’ dan ‘kuasa menentukan pemerintahan Sabah di tangan rakyat Sabah’ kita yakin
WARISAN akan meneruskan pemerintahan negeri Sabah,” katanya.
Dr Udin, anak jati Membakut telah berkhidmat dalam bidang pendidikan sejak tahun 2003 sebagai pensyarah sehinggalah menjadi profesor madya pada tahun 2018 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan beliau telah menerima banyak anugerah dalam sektor pendidikan termasuklah Anugerah Inovasi Naib Canselor untuk Projek Model Pembangunan Negeri Secara Bersepadu (IISJ) dan kepakaran beliau adalah dalam bidang kejuruteraan kimia (chemical engineering).
Beliau berkata, isu berpanjangan yang juga turut dikongsikan sepanjang kempen adalah masalah jalan yang sehingga kini menjadi satu ‘keperitan berpanjangan’ kepada penduduk tempatan.
“Pendudukdibeberapakampung termasuk di pelusuk berasakan seperti tidak dipeduli meskipun setiap pilihan raya, mereka terus mengundi calon parti politik sebelum ini (iaitu bukan dari WARISAN), mereka mengadu kesukaran untuk ke Pekan Menumbok bagi menjual hasil pertanian mereka, mereka mengadu kesukaran untuk ke hospital sebab jarak jauh dari kampung mereka ditambah dengan kondisi jalan yang tidak baik.
“Tapi kali ini, kita melihat mereka ini telah berubah dan akan menyokong Warisan sebagai tempat untuk mengadu permasalahan mereka untuk penyelesaian…kita yakin akan mampu membantu mereka, dan semasa pemerintahan WARISAN pun, telah ramai penduduk kampung di pedalaman Sabah telah dapat semula hak tanah mereka, ini bukti keperihatinan WARISAN kepada rakyat Sabah,” katanya.
Dr Udin menyeru pengundi Membakut agar turun awal pada 26 September ini untuk membuat pilihan bijak dan sentiasa mengingati ‘sumber kita hak kita’ dan ‘kuasa menentukan pemerintahan Sabah ditangan rakyat Sabah’.