Leipzig tetap catat kemenangan tanpa Werner
BERLIN: RB Leipzig tidak menunjukkan sebarang tanda merindui Timo Werner kelmarin apabila mereka mencatatkan kemenangan 3-1 yang selesa di stadium sendiri ke atas Mainz dalam perlawanan pertama mereka dalam Bundesliga pada musim ini.
Di tempat ketiga dalam liga dan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara pada musim lepas, pengulas di Jerman telah meramalkan cabaran yang lebih sukar bagi Leipzig pada tahun ini selepas mereka menjual penyerang bintang Werner kepada Chelsea.
Namun pasukan Julian Nagelsmann bermain pada tahap terbaik mereka apabila mereka memulakan kempen baharu di depan 8,500 penyokong, dengan mencatatkan 23 cubaan untuk akhirnya mencapai kemenangan yang sewajarnya.
“Ia begitu menakjubkan untuk bermain di depan penyokong kami sekali lagi. Kami mempamerkan persembahan yang hebat untuk mereka pada hari ini,” kata Emil Forsberg, yang membuka jaringan menerusi tendangan penalti dan mencipta satu lagi untuk Amadou Haidara.
“Untuk menewaskan pasukan terbaik, anda perlu memberikan 100 peratus. Jika kami bermotivasi seperti pada hari ini, kami akan menjadi pasukan terkemuka sekali lagi.”
Leipzig kini sudah menjaringkan 16 gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka menentang Mainz, yang sedang bersiap sedia untuk satu lagi cabaran relegasi pada musim ini.
“Ia bukanlah rahsia bahawa kami ingin sekali mendapatkan seorang lagi penyerang kerana musim ini pasti mencabar, tetapi penyerang kami menjalankan tugas mereka dengan baik pada hari ini,” kata Nagelsmann.
“Jika kami menggunakan semua peluang kami, kami dapat menjaringkan tujuh atau lapan gol.”
Pasukan tuan rumah terus mengasak dari awal perlawanan lagi, dan Dani Olmo serta Marcel Halstenberg nyaris menjaringkan gol pendahuluan dalam masa beberapa minit yang pertama.
Jaringan pembukaan dibuat seleaps hanya 15 minit sahaja, apabila Olmo disangkut oleh Leandro Barreiro di dalam kotak penalti dan Forsberg menyempurnakan tendangan penalti yang diberikan.
Pemain antarabangsa Denmark, Yussuf Poulsen, kemudian melakukan rembatan kencang melepasi palang gol sebelum dia menggandakan kelebihan dengan satu tandukan pada minit ke-21.
Selepas cubaan Forsberg terkena tiang gol pada minit ke-30, kemenangan besar nampak bakal berlaku.
Jean-Philippe Mateta menewaskan perangkap ofsaid sejurus selepas waktu rehat untuk membawa Mainz balik ke dalam perlawanan, tetapi Haidara bergabung dengan Forsberg hanya beberapa minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 3-1 dan memastikan Leipzig tidak dapat diatasi.
Walaupun bermain dengan dominan, Nagelsmann memberi amaran bahawa pasukannya perlu mempertingkatkan permainan mereka apabila mereka bertandang ke Bayer Leverkusen pada hujung minggu depan.
“Mereka adalah pasukan lawan yang lasak, jadi kami perlu bermain dengan lebih baik sedikit,” katanya. — AFP