Utusan Borneo (Sarawak)

Lelaki belasah isteri hingga pengsan ditangkap

Suspek berang mangsa tidak menjawab panggilan telefon, dakwa mangsa sekadar ‘berlakon’ sakit

- Oleh Michael Ubam

Suspek kemudian dikatakan telah menampar dan mencekik leher serta menghentak kepala pengadu pada dinding sehingga pengsan.

Superinten­den Collin Babat

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu

SIBU: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memukul dan menyerang isterinya di salun kecantikan­nya tengah hari kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superinten­den Collin Babat berkata, suspek berusia 38 tahun yang juga suami mangsa tiba-tiba muncul lalu memukul isterinya di salun kecantikan milik mangsa di Jalan Ulu Sungai Merah.

“Suspek bertindak demikian kerana disyaki memarahi pengadu selepas tidak menjawab panggilan telefonnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, suspek bertindak mengambil kunci salun yang digantung di dinding sebelum dikejar isteri sehingga di luar

premis.

“Suspek kemudian dikatakan telah menampar dan mencekik leher serta menghentak kepala pengadu pada dinding sehingga pengsan,” dedah beliau.

Berikutan itu katanya, pengadu telah menghubung­i bapa saudaranya dan memberitah­u ibunya mengenai kejadian tersebut setelah sedarkan diri daripada pengsan.

Ketika ahli keluargany­a tiba di tempat kejadian, suspek memberitah­u mereka bahawa pengadu hanya berpura-pura sakit dan ‘berlakon’.

Collin berkata, suspek telah ditangkap dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 323/18 Akta Kekerasan Rumah Tangga.

Difahamkan pengadu dan suspek telah berkahwin selama 15 tahun dan mempunyai tiga anak.

“Suspek telah direman selama empat hari sehingga 29 September ini,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia