Utusan Borneo (Sarawak)

Empat keluarga terjejas hakisan tanah di Kampung Tambak dipindah

-

PUSA: Empat keluarga terjejas apabila kediaman mereka berisiko tenggelam ke dasar Sungai Rimbas akibat hakisan tanah yang berlaku di Kampung Tambak dekat sini.

Kerisauan keluarga terbabit semakin menghantui apabila hakisan tanah tampak jelas hingga memusnahka­n reban ayam yang dibina di tebing sungai akibat tanah runtuh.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong Henry Jugah memberitah­u, kejadian disedari petang kelmarin oleh penduduk kampung yang terjejas.

“Bomba dimaklumka­n berhubung kejadian hakisan tanah di Kampung Tambak dekat sini semalam.

“Kami bergegas ke lokasi kejadian untuk memantau keadaan dan situasi hakisan seperti dimaklumka­n.

“Setibanya pasukan kami di tempat kejadian, didapati empat rumah di Kampung Tengah Tambak, Pusa dikhuatiri berisiko akibat hakisan tanah runtuh berdekatan Sungai Rimbas,” katanya.

“Tiada sebarang operasi dijalankan pasukan bomba.

“Kami bersama agensi yang terlibat dengan Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Bahagian Betong hanya melakukan pemeriksaa­n di lokasi terjejas.

“Hasil pemeriksaa­n mendapati jarak runtuhan tanah dari sungai ke rumah mangsa sekitar sembilan kaki hingga 36 kaki yang dalam keadaan bahaya.

“Mangsa terjejas ialah keluarga Zaini Seman, 37, dengan lima ahli keluarga; keluarga Yusuf Tunjoi@ Tonjoi, 52, dengan 10 ahli keluarga; keluarga Muhi Mat, 67, lapan ahli keluarga dan keluarga Rosli Mat, 49, lima ahli keluarga.

“Semua mangsa telah dipindahka­n ke Pusat Pemindahan Bencana Tanah Runtuh yang telah dibuka iaitu di Bilik Gerakan Pusat Ekonomi Kampung Tambak, Pusa,” jelasnya.

Turut hadir di lokasi ialah wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawa­n JKM serta ketua masyarakat dan kaum Kampung Pusa.

 ??  ?? TERHAKIS: Agensi yang terlibat memantau kawasan terbabit semalam.
TERHAKIS: Agensi yang terlibat memantau kawasan terbabit semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia