Utusan Borneo (Sarawak)

Kes letupan CityOne Megamall: Syarikat CityOne Mc dilepas tanpa perlu bela diri

-

KUCHING: Mahkamah Sesyen di sini, semalam melepaskan syarikat CityOne Mc Sdn Bhd tanpa perlu dipanggil membela diri bagi tuduhan gagal memastikan tahap keselamata­n pekerja terjamin di CityOne Megamall pada 4 Disember 2018.

Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menetapkan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktika­n kes prima facie terhadap syarikat tersebut, pada akhir kes pendakwaan.

Difahamkan, mahkamah akan memberikan alasan keputusan kepada pihak pendakwaan dan tertuduh kelak.

Hadir mewakili syarikat tersebut di mahkamah kelmarin adalah Pengurus Besar CityOne Mc Sdn Bhd Lo Wei Han.

Seramai 12 orang saksi dipanggil ke mahkamah untuk memberikan keterangan dalam kes ini.

Mengikut pertuduhan, syarikat tersebut didakwa gagal memastikan tahap keselamata­n pekerja terjamin di CityOne Megamall sehingga menyebabka­n tiga maut iaitu O Kui Lim, 49 dari Batu Kawa, Tchee Kiam Jong, 24 (Stutong) dan Chin Hsien Loong, 29, dari Butterwort­h, Pulau Pinang.

Syarikat berkenaan didakwa di bawah Seksyen 18 (1) Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntu­kkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurut seksyen itu, penghuni sesebuah premis hendaklah mengambil sebarang langkah yang praktik untuk memastikan bahawa premis itu adalah selamat dan tidak mendatangk­an risiko kepada kesihatan.

CityOne Mc diwakili peguam Alvin Yong dan J.B Singh manakala pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa (PO) Jabatan Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Safwan Lokman dan Wilson Lee Wui Siang serta turut disaksikan oleh Peguam Pemerhati David Hii Chin Loung.

Sementara itu, ketika ditanya Utusan Borneo sekiranya pihak JKKP akan membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah, pihak JKKP berkata ia terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya JKKP di Putrajaya untuk membuat rayuan atau tidak.

Insiden yang berlaku sekitar jam 3.30 petang itu menyaksika­n tiga terkorban dan 41 cedera termasuk empat cedera parah dalam kejadian letupan gas di CityOne Megamall di sini.

Letupan berlaku akibat kebocoran gas ketika menyiapkan kerja-kerja pengubahsu­aian sebelum sebuah rantaian makanan segera dibuka secara rasmi.

Tiga individu maut manakala 44 lagi cedera termasuk seorang pekerja binaan warganegar­a Indonesia berusia 29 tahun.

Setakat ini, dua entiti lagi didakwa bagi insiden letupan berkenaan dan kedua-duanya mengaku tidak bersalah serta kes masih dibicaraka­n di mahkamah.

Mereka adalah syarikat Sin Nyen Electronic Electrical dan pengurus subkontrak­tor berusia 56 tahun.

Syarikat elektrikal yang diwakili peguam Siew Chen Fui, didakwa di bawah Seksyen 15(1) manakala pengurus subkontrak­tor berkenaan bakal didakwa di bawah Seksyen 17(1) Akta Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan 1994 .

Subkontrak­tor tersebut diwakili peguam Voon Lee Shan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia