Utusan Borneo (Sarawak)

Naik kenderaan empat orang semasa PKPB, tiga sekawan didenda

-

KUCHING: Akibat menaiki kenderaan persendiri­an melebihi tiga orang semasa penguatkua­saan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), seorang lelaki tempatan dikenakan kompaun serta-merta manakala tiga lelaki warga asing masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Zaiton Anuar juga menetapkan Martino Karnain, 30, Pirmanto Samsidar dan Rinaldi yang masing-masing berusia 22 tahun, dipenjara lima hari sekiranya gagal membayar denda.

Kesemua buruh lelaki tersebut mengaku bersalah sejurus pertuduhan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020 dibacakan terhadap mereka.

Peraturan berkenaan memperuntu­kkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah melanggar arahan PKPB dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda melebihi tiga orang dan gagal memberikan alasan munasabah berhubung tindakan tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka pada 13 November lalu, jam 8.10 pagi, semasa melakukan perjalanan dari bulatan Emart Matang menuju ke Metrocity Matang di sini.

Lelaki tempatan yang merupakan pekerja kilang itu dibawa ke Balai Polis Sentral Kuching dan telah dikenakan kompaun pada hari kejadian manakala tiga warga Indonesia tersebut dibawa ke mahkamah semalam untuk dituduh.

Hasil semakan di Jabatan Imigresen Malaysia juga mendapati bahawa kesemua tertuduh mempunyai pasport yang sah.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia