Utusan Borneo (Sarawak)

Sarawak terus rekodkan sifar kes positif baharu COVID-19

-

KUCHING: Sarawak merekodkan sifar kes positif baharu COVID-19 untuk tiga hari berturut-turut semalam, yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruha­n kes positif di negeri ini kekal sebanyak 1,055 kes.

Jawatankua­sa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, terdapat lima kes baharu pulih dan dibenarkan discaj semalam.

“Semua kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini adalah dari Hospital Umum Sarawak (HUS). Ini menjadikan jumlah keseluruha­n kes pulih dan discaj meningkat kepada 982 orang atau 93.08 peratus setakat ini,” kata jawatankua­sa itu semalam.

JPBNS berkata, jumlah kes yang masih mendapat rawatan di wad pengasinga­n hospital seramai 54 orang dengan 48 kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan enam di Hospital Miri.

Tambahnya, sembilan kes orang disyaki (PUI) baharu dilaporkan dan satu PUI masih menunggu keputusan ujian makmal semalam.

“Sementara seramai 304 orang di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin,” katanya.

JPBNS turut memaklumka­n terdapat enam kluster masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas dengan kesemuanya di Kuching.

Daerah Kuching katanya, masih kekal berstatus merah dengan jumlah keseluruha­n seramai 54 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

Dua daerah iaitu Miri dan Lawas berstatus kuning manakala 37 daerah lain berstatus hijau.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia