Utusan Borneo (Sarawak)

Pindaan Perlembaga­an Sarawak nafi hak pemilihan anak jati tulen ke DUN

-

KUCHING: Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Chong Chieng Jen memberitah­u bahawa pindaan Perlembaga­an Sarawak baru-baru ini mengenai kelayakan untuk dipilih ke Dewan Undangan Negeri (DUN) menafikan hak pemilihan anak jati Sarawak yang tulen ke DUN.

Menurutnya, Timbalan Speaker DUN Datuk Gerawat Gala dan ADUN Padungan Wong King Wei telah mempertaha­nkan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kepada pindaan tersebut dengan menyatakan perkataan ibu bapa dalam pindaan itu membawa konotasi atau maksud tersirat ibu bapa kandung.

Maka itu, Chong yang merupakan ADUN Kota Sentosa bertanya mengapa perkataan ‘kandung’ (biological) tidak dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang (RUU) pindaan yang dibentangk­an dan diluluskan dalam DUN pada minggu lepas.

“Soalan mudah ialah jika ibu bapa kandung benarbenar dimaksudka­n oleh pindaan itu mengapa perkataan ‘kandung’ tidak dimasukkan ke dalam RUU pindaan? Dan kenapakah menteri-menteri GPS begitu senyap mengenai perkara ini dan membiarkan sahaja seorang bekas ADUN DAP (Wong) untuk menerajui pembelaan bagi GPS?

“Sebenarnya dengan pindaan baharu itu bukan sahaja orang bukan warga Sarawak boleh menjadi ADUN berdasarka­n tempat lahir ibu bapanya malah sebaliknya seorang anak jati Sarawak yang tulen mungkin akan dinafikan hak untuk menjadi ADUN di negeri ini,” kata Chong.

Beliau menjelaska­n perkara itu dengan memberi contoh sepasang suami isteri dari Sarawak yang melahirkan seorang anak lelaki yang merupakan warga Sarawak ketika mereka bekerja buat sementara waktu di Semenanjun­g Malaysia, dengan kad pengenalan yang ada angka ‘13’ dan huruf ‘K’.

Beliau berkata, selepas kelahiran anak lelaki itu, keluarga tersebut pulang ke Sarawak dan anak itu membesar di Sarawak.

“Jika anak itu mengahwini seseorang yang juga tidak dilahirkan di Sarawak, di bawah pindaan baharu, anak-anak si anak lelaki itu tidak akan layak untuk dipilih menjadi ADUN walaupun mereka adalah warga Sarawak dan bermastaut­in di Sarawak sepanjang hidup mereka,” kata Chong.

Maka itu katanya, di bawah pindaan baharu menjadi ‘anak Sarawak’ (Sarawakian) bukanlah salah satu kriteria bagi kelayakan untuk menjadi ADUN, tetapi ‘tempat lahir’ ibu bapa atau salah seorang daripada mereka adalah kriteria bagi kelayakan.

“Tidakdapat­dinafikan,terdapat ribuan warga Sarawak tidak dilahirkan di Sarawak kerana pada waktu mereka dilahirkan...ibu bapa mereka bekerja di luar Sarawak.

“Oleh itu anak-anak warga Sarawak ini yang tidak dilahirkan di Sarawak tidak akan layak untuk dipilih menjadi ADUN walaupun mereka adalah warga Sarawak dan ada huruf ‘K’ di dalam kad pengenalan mereka.

“Maka itu, disebabkan oleh kerja tergesa-gesa untuk meminda Perlembaga­an Negeri bukan sahaja orang bukan warga Sarawak tidak dibenarkan untuk dipilih sebagai ADUN tetapi pada waktu sama orang warga Sarawak sendiri juga boleh jadi tidak akan dibenarkan untuk dipilih sebagai ADUN,” katanya.

“Kerajaan GPS seharusnya mengadakan lebih banyak rundingan apabila ia melibatkan pindaan kepada Perlembaga­an dan tidak terburu-buru untuk meluluskan pindaan dengan menggunaka­n kekuatan majoriti lebih dua pertiganya dalam DUN,” katanya.

DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) telah membantah RUU pindaan berkenaan pada Persidanga­n DUN iaitu pindaan bagi menurunkan usia kelayakan untuk dipilih ke DUN dan mentakrif kata-kata ‘bermastaut­in di negeri ini’ (resident in the state) dalam Perkara 16 Perlembaga­an Sarawak.

Sementara barisan pembangkan­g menyokong langkah untuk menurunkan usia kelayakan daripada 21 tahun kepada 18 tahun namun mereka tidak bersetuju dengan takrifan atau definisi bagi ‘resident’ (pemastauti­n atau bermastaut­in).

Pindaan itu menyebut hanya dua sahaja kategori orang yang layak dianggap sebagai ‘bermastaut­in di negeri ini’ (resident in the state) — warga yang lahir di Sarawak, dengan ibu bapa atau salah seorang daripada mereka yang juga lahir di negeri ini dan dia biasanya bermastaut­in di negeri ini; atau seorang warga, yang tidak lahir di negeri ini, tetapi ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilahirkan di negeri ini dan dia biasanya bermastaut­in di negeri ini.

 ??  ?? CHONG
CHONG

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia