Utusan Borneo (Sarawak)

MEDAC bakal melaksanak­an platform e-dagang bantu PKS

-

KUCHING: Kementeria­n Pembanguna­n Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bakal melaksanak­an platform e-dagang yang diharapkan akan memberi impak positif terhadap pertumbuha­n ekonomi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro.

Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, MEDAC sedia maklum akan kemajuan prestasi dan potensi di sektor e-dagang (perniagaan digital atau dalam talian), dalam menyebar luas serta mengembang­kan pasaran komuniti usahawan dan koperasi tempatan.

Menurutnya, berdasarka­n statistik pihak Malaysia Digital Economy Corporatio­n (MDEC) dan Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), sektor edagang negara telah menyumbang sebanyak RM127 bilion daripada keseluruha­n jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019.

Sektor ini juga katanya, menunjukka­n trend peningkata­n dari segi prestasiny­a, berbanding tahun 2015 yang mencatat RM89 bilion.

“Justeru, MEDAC telah mengadakan perjumpaan bersama syarikat atau operator pasaran atas talian (e-commerce) untuk mewujudkan ikatan kolaborati­f, kerjasama dan sokongan dalam usaha membantu usahawan dan koperasi untuk meningkatk­an keupayaan perniagaan di sektor peniaga atau penjaja kecil, mikro dan informal tempatan, secara atas talian.

“Seramai 13 orang wakil syarikat-syarikat utama edagang yang beroperasi di Malaysia telah hadir di dalam sesi perbincang­an yang telah diadakan baru-baru ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan akhbar kelmarin.

Jelasnya juga, antara inisiatif yang akan diambil adalah memperluas akses usahawan kepada RM150 juta dana sumber pembiayaan alternatif.

“Kita juga akan membantu usahawan PKS dan Mikro tempatan yang terkesan ekoran daripada wabak COVID19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk bangkit semula memulakan perniagaan.

“Selain itu, usahawan PKS dan mikro tempatan yang ditawarkan Geran SME Corp seperti BEEP akan dibantu untuk memulakan projek sebagai ‘bridging fund’,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh layari portal rasmi MEDAC di www.medac. gov.my atau hubungi talian 1-300-88-1020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia