Utusan Borneo (Sarawak)

Vaksin COVID-19: Sasaran 70% suku pertama 2021 tumpu golongan dewasa

Kerajaan akan peroleh maklumat awal serta interim berkenaan keselamata­n vaksin

-

KUALA LUMPUR: Sasaran 70 peratus rakyat Malaysia yang akan menerima vaksin COVID-19 pada suku pertama 2021 akan tertumpu kepada golongan dewasa untuk negara mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata ini kerana apabila imuniti kelompok berjaya dicapai, individu yang tidak menerima vaksin sukar mendapat jangkitan COVID-19.

“Akan ada mereka yang tidak akan dapat divaksin kerana kebanyakan vaksin COVID-19 yang dibangunka­n ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, jadi mereka sudah pasti tidak dapat menerima vaksin yang pertama tahun depan.

Jadi ini mungkin peratusan yang tidak akan mendapat vaksin, kita akan tumpukan kepada dewasa untuk kita mencapai tahap imuniti

kelompok,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkomprom­i dalam soal keselamata­n dan akan memperoleh maklumat awal serta maklumat interim berkenaan keselamata­n vaksin itu agar tidak ada rakyat Malaysia menjadi ‘tikus makmal’.

Katanya, kerajaan akan meneliti data-data klinikal yang disediakan oleh syarikat vaksin terutama syarikat yang memberi perolehan bagi vaksin itu.

“Saya jangkakan mengikut perancanga­n sekarang, suku tahun pertama tahun depan kita akan dapat perolehan (vaksin) yang pertama dan satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Menjawab celahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai kriteria pemilihan negara dalam perolehan vaksin COVID-19, Khairy berkata kementeria­n sedang berbincang dengan syarikat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China untuk menentukan bilangan atau portfolio vaksin terbaik untuk Malaysia.

Beliau berkata sebelum kerajaan membuat perolehan vaksin, penelitian turut dibuat mengenai sama ada vaksin itu memberikan “sterilizin­g immunity” iaitu menghentik­an jangkitan atau hanya bertindak menghentik­an jangkitan daripada menjadi gejala yang serius.

Sementara itu, Khairy turut memaklumka­n sebuah jawatankua­sa bebas bagi menilai vaksin COVID-19 ditubuhkan di bawah Jawatankua­sa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 yang dipengerus­ikan pakar epidemiolo­gi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud dan disertai sembilan anggota lain dengan kepakaran seperti virologi, imunologi molekular dan penyakit berjangkit.

“Kita ambil pendekatan ini supaya penentuan bagi vaksin ini tidak dibuat oleh manamana kementeria­n tetapi mendapat rujukan kepakaran secara bebas.

Perkara ini kita akan perluaskan kepada pakar-pakar yang lain supaya apabila kita menentukan strategi vaksinasi kebangsaan bagi COVID-19, kita akan mendapat pandangan daripada pelbagai pakar dan tidak terhad kepada MOSTI (Kementeria­n Sains, Teknologi dan Inovasi) dan KKM (Kementeria­n Kesihatan Malaysia),” katanya bagi menjawab celahan Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang bertanyaka­n keterlibat­an pakar selain kementeria­n terlibat dalam perolehan vaksin itu. — Bernama

“Akan ada mereka yang tidak akan dapat divaksin kerana kebanyakan vaksin COVID-19 yang dibangunka­n ini belum lagi diuji kepada kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, jadi mereka sudah pasti tidak dapat menerima vaksin yang pertama tahun depan.

Khairy Jamaluddin

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia