Ibu tunggal dua anak bersyukur dapat rumah baharu untuk meneruskan kelangsungan hidup
BEAUFORT: Tiada apa yang lebih menggembirakan bagi seorang ibu tunggal bersama dua anaknya apabila mereka bakal mendapat sebuah rumah baharu bagi meneruskan kehidupan.
Junaidah Daud, 43, di Kampung Lubok Weston dekat sini, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan membina rumah bagi menggantikan pondok usang lagi daif yang didiaminya selama ini.
Katanya, selama ini beliau bersama dua anaknya Sharin Mail, 15, dan Sharil Mail, 16, hidup di pondok usang yang hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.
“Tidak pernah terlintas bahawa saya akan memperolehi rumah seperti ini.
“Dapatlah saya dan dua orang anak saya yang masih bersekolah berteduh daripada hujan dan panas,” katanya ketika menerima sumbangan bagi membina rumah baharu yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam baru-baru ini.
Pondok mereka sebelum itu akan dirobohkan memandangkan ia terlalu usang dan tidak menjamin keselamatan tiga beranak ini untuk menghuninya.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Samin Ongki berkata, sumbangan ini diperolehi dari YADIM, Alumni Sekolah Menengah Agama (SMA) Limau-Limauan serta ADUN Lumadan.
“Sumbangan ini adalah pendahuluan sebanyak RM10,000 secara bersama bagi membina sebuah rumah untuk keluarga ini yang amat memerlukan sebuah rumah baharu untuk mereka tiga beranak.
“Kami terpanggil menghulurkan sumbangan ini dengan menggerakkan kutipan daripada orang ramai, daripada Alumni SMA Limau-Limauan dan sebahagiannya daripada ADUN Lumadan.
“Sumbangan itu sebahagiannya kami serahkan pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ruslan berkata, sumbangan itu adalah tanggungjawab semua pihak untuk memastikan ibu tunggal dan dua orang anaknya yang meningkat dewasa serta masih bersekolah itu dapat tinggal di tempat yang lebih selesa dan sempurna.
Katanya, ini adalah kali ketiga beliau menziarahi keluarga itu yang hidup dalam kedaifan tanpa mempunyai sebarang pekerjaan dan hanya mengharapkan ihsan orang kampung untuk makan dan minum.
Manakala kedua-dua anak Junaidah kata beliau, masih di bangku sekolah.
“Hari ini kita secara bersama menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 untuk membolehkan kerja-kerja dan kos pembelian peralatan untuk membina rumah ini,” katanya.
Pembinaan rumah itu kata Ruslan, akan dimulakan dengan menimbus tapak tanah dan kemudian membeli perkakas binaan konkrit yang dianggarkan kos keseluruhan mencapai RM40,000 dengan keluasan kira-kira 1,200 kaki persegi.
Beliau memberitahu rumah itu akan turut dilengkapi sepenuhnya dengan bekalan air dan elektrik dengan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan bertindak sebagai pemantau projek hingga siap.
“Sejurus selepas itu, Pejabat DUN Lumadan juga akan memastikan pendidikan anakanak beliau terus berjaya dan juga selepas itu kita juga akan mendidik keluarga ini bagaimana untuk meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.