Suri rumah golongan tepat untuk bantu polis cegah aktiviti jenayah
BINTULU: Suri rumah merupakan golongan tepat yang dapat membantu pihak polis melalui penyaluran maklumat bagi mengekang dan mencegah aktiviti jenayah yang berlaku di sekitar kawasan kediaman mereka.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak SAC Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, ini memandangkan golongan itu sentiasa berada di rumah dan mengetahui perkembangan semasa dengan jiran-jiran.
Justeru untuk mengukuh peranan itu katanya, Program Taman Angkat AMANITA diwujudkan sebagai usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) menurunkan kadar jenayah melalui inisiatif AMANITA membawa penglibatan suri rumah dalam pencegahan jenayah di kawasan kampung.
Katanya, usaha ini akan meningkat penglibatan anggota polis secara lebih dekat dengan penduduk kampung dan polis wanita dapat berkomunikasi lebih fokus serta tersusun dengan suri rumah dalam mencegah jenayah.
“Selain itu, pewujudan Taman Angkat AMANITA ini juga akan menjadikan kawasan kediaman sebagai tempat yang lebih selamat,” ujarnya ketika merasmikan Taman Angkat AMANITA PDRM Kontinjen Sarawak untuk Kampung Assyakirin (Fasa 1, 2 dan 3) di Hotel Promenade di sini, semalam.
Beliau berharap kerjasama itu akan dapat membantu pihak polis dari segi penyampaian maklumat berkaitan jenayah dan aktiviti tidak bermoral serta perkara mencurigakan yang berlaku di kawasan sekitar.
Tambahnya, kriteria pemilihan Taman Angkat ini berdasarkan kepada kadar indeks jenayah serta masalah sosial yang tinggi di setiap daerah, antaranya masalah dadah, mat rempit dan sebagainya.
Justeru katanya, kerjasama baik penduduk dengan pihak polis selama ini dan pelaksanaan program itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi kerjasama dengan suri rumah khususnya dengan kehadiran Skuad AMANITA bagi mengekang jenayah.
Pada masa sama, beliau yakin golongan suri rumah mampu menjaga keselamatan diri, keluarga dan harta benda, melaporkan aktiviti mencurigakan atau kejadian jenayah, menjaga keselamatan harta jiran, kediaman serta membantu polis mengenal pasti kegiatan jenayah di kawasan mereka.
“Saya berharap program ini akan memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap PDRM dalam membanteras kegiatan jenayah melalui insiatif AMANITA dan Taman Angkat ini,” katanya.
AMANITA atau Aman Wanita (Peace Lady) yang dilancarkan pada Mac 2013 merupakan inisiatif untuk pegawai wanita PDRM mendampingi golongan wanita termasuk suri rumah dalam usaha membanteras jenayah sehingga ke peringkat akar umbi.
Jelasnya, AMANITA turut mengajar serta memupuk kesedaran orang ramai khususnya wanita berkenaan keselamatan diri, keluarga, tempat kediaman serta cara melindungi kawasan kejiranan masing-masing selari dengan konsep AMANITA menjadikan golongan wanita sebagai mata dan telinga PDRM dalam menyalurkan maklumat jenayah.
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta berterima kasih dan menghargai usaha PDRM memilih Kampung Assyakirin sebagai Taman Angkat AMANITA serta mengalu-alukan inisiatif tersebut agar hubungan antara kedua-dua pihak terus terjalin kukuh.
“Kita akan memberi kerjasama tanpa berbelah bahagi untuk apa juga program atau aktiviti diadakan di kampung ini melibatkan PDRM agar hubungan baik ini terus diperkukuhkan terutamanya melibatkan pencegahan jenayah,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Turus AMANITA Kontinjen Sarawak Superintenden Roselina Daud, Ketua Polis Daerah Bintulu Superitenden Zulkipli Suhaili, Timbalannya DSP Jame Reis, Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Bintulu Diana Seliman serta pegawai-pegawai kanan polis lain.