Al Ahly julang trofi Liga Juara-Juara CAF
KAHERAH: Jaringan lewat Mohamed 'Afsha' Magdy memberikan kemenangan 2-1 yang dramatik kepada Al Ahly ke atas Zamalek kelmarin dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara CAF yang melibatkan dua kelab dari Mesir di Kaherah.
Magdy menjaringkan gol dalam masa tambahan dalam stadium tertutup disebabkan oleh pandemik COVID-19 selepas Amr el Soleya menjaringkan gol pendahuluan awal kepada Ahly dan 'Shikabala' menjaringkan gol penyamaan yang cantik sebelum waktu rehat.
Selepas 85 minit perlawanan berlangsung, Magdy mengawal bola dengan lututnya di luar kawasan penalti dan merembatnya ke dalam jaring untuk membolehkan
Ahly memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara kesembilannya yang melanjutkan rekod dan yang pertama baginya sejak 2013.
Kemuncaknya selari dengan perlawanan akhir yang mengasyikkan untuk melengkapkan pertandingan yang bermula pada Ogos tahun lepas dan sering ditangguhkan oleh Covid-19.
Kejayaan bagi Ahly bermakna Pitso Mosimane dari Afrika Selatan menjadi jurulatih ketiga selepas Oscar Fullone dari Argentina dan Mahmoud el Gohary dari Mesir untuk memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara bersama dua kelab.
Mosimane membimbing Mamelodi Sundowns dari Afrika Selatan untuk mencatatkan kemenangan agregat 3-1 ke atas Zamalek dalam penentuan kejuaraan pada 2016.
Sebelum sepak mula dalam stadium yang biasanya memenuhi kapasiti 74,000 tempat duduk bagi perlawanan tetangga Kaherah, kedua-dua pasukan bertafakur sejenak untuk memberi penghormatan kepada ikon Argentina, Diego Maradona, yang meninggal dunia pada Rabu lepas.
Ahly menjaringkan gol pendahuluan pada minit kelima apabila Amr el Soleya melompat tinggi untuk menanduk kuat satu tendangan sudut ke dalam jaring selepas penjaga gol Mohamed Abou Gabal melepaskan situasi bola mati itu setelah menerima tekanan daripada Hussein el Shahat.
Namun sebarang kekecewaan yang dialami penyokong Zamalek ketika mereka menonton perlawanan secara langsung menerusi televisyen hilang selepas 31 minit kerana 'Shikabala'.
Seorang daripada ramai pemain bola sepaj Mesir yang suka menggunakan nama timangan berbanding nama rasmi mereka, dalam kesnya, Mahmoud Abdelrazek Hassan Fadlala, 'Shikabala' menyamakan kedudukan dengan jaringan solo yang tidak dapat dilupakan.
Kemudian, selepas 54 minit ketika kedua-dua pasukan terikat, Magdy menjaringkan gol ketiganya dalam kempen Afrika itu untuk memberikan kejuaraan CAF ke-20 yang melanjutkan rekod kepada Ahly. — AFP