Bantu pelajar Orang Ulu dapatkan maklumat mengenai bantuan pendidikan: Gerawat
KUCHING: Semua persatuan Orang Ulu di negeri ini diminta terus membantu pelajar Orang Ulu dengan melengkapkan maklumat yang tepat mengenai bantuan pendidikan bagi memastikan proses kemasukan ke universiti berjalan lancar.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala berkata, para pelajar mesti diberi maklumat yang tepat mengenai pilihan untuk menyambung pengajian seperti pemilihan universiti, kos pengajian dan tajaan yang ada.
“Kita sentiasa mengiktiraf pelajar kita yang cemerlang atas pencapaian mereka dalam akademik. Setelah mereka menamatkan tingkatan lima, kita harus memastikan bahawa mereka dimaklumkan dengan maklumat yang tepat mengenai bantuan pendidikan yang ada.
“Maklumat ini amat penting dalam usaha kita untuk membolehkan mereka belajar ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya semasa Majlis Makan Malam ‘Pemung Kejaie 2020’ anjuran bersama Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) Cawangan Kuching dan Persatuan Peng Leto Kenyah (PLKS) Cawangan Kuching di sebuah hotel terkemuka di sini, malam kelmarin.
Mengambil contoh, Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu berkata, setiap pelajar Bumiputera khususnya pelajar Dayak dan Orang Ulu yang berjaya memasuki universiti awam tempatan, Yayasan Sarawak dan Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) akan memberi bantuan sehingga RM1,000 untuk membayar yuran pendaftaran.
“Yayasan Sarawak juga memberi bantuan pinjaman manakala DCF juga menawarkan biasiswa penuh kepada pelajar Dayak dan Orang Ulu yang cemerlang untuk memasuki universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge dan Imperial College London.
“Mereka menyediakan tiga slot yang masing-masing untuk pelajar Iban, Bidayuh, dan Orang Ulu di mana bantuan akan diberikan setiap tahun kepada mereka yang layak,” katanya sambil menambah bahawa pelajar boleh menulis kepada DCF atau pergi ke pejabat mereka di Tingkat 7, Bangunan Tun Jugah untuk memohon.
Beliau berkata syarat untuk mendapatkan biasiswa ialah pelajar harus memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan wajib memilih kursus sains dan kejuruteraan di universiti.
“Selainitu,YayasanSarawak juga mempunyai peruntukan khas bagi membantu pelajar Dayak dan Orang Ulu memasuki universiti swasta di Sarawak seperti Swinburne University of Technology dan Universiti College of Technology Sarawak (UCTS) di Sibu,” katanya.
Oleh itu, beliau menyeru agar semua persatuan Orang Ulu terutama Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak, Malaysia (FORUM) terus menyokong dan membantu pelajar kerana ramai antara mereka tidak menyambung pengajian ke universiti kerana bimbang tiada penajaan atau ibu bapa mereka tidak mampu.
“Kita tidak mahu pelajar yang cemerlang melepaskan peluang menyambung pengajian disebabkan masalah kewangan.
“Sekiranya kita tiada kesedaran dan usaha untuk membantu anggota masyarakat kita, maka kita akan ketinggalan. Oleh itu, pastikan anda (persatuan Orang Ulu) beri perhatian kepada pendidikan generasi muda kita kerana jika tidak mereka akan ketinggalan pada masa akan datang, ”kata Gerawat yang juga penasihat FORUM.
Terdahulu, seramai enam pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu masing-masing menerima sijil dan insentif pada majlis itu.
Turut hadir ialah Pengerusi PLKS Cawangan Kuching Catherina Tipong Usang.